Buru penjenayah lebih pantas dengan AI

AI mempercepatkan analisis forensik digital, membolehkan bukti seperti imej, fail, komunikasi dan metadata dianalisis dengan lebih pantas. (Gambar kecil: Mohsen dan Suresh)
AI mempercepatkan analisis forensik digital, membolehkan bukti seperti imej, fail, komunikasi dan metadata dianalisis dengan lebih pantas. (Gambar kecil: Mohsen dan Suresh)
A
A
A

SHAH ALAM - Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pusat operasi keselamatan (SOC) membolehkan pemantauan berterusan terhadap rangkaian, log sistem dan aktiviti mencurigakan secara automatik.

Pensyarah Kanan Pusat Kompetensi Keselamatan Siber dan Forensik Digital Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Dr Mohsen Mohamad Hata berkata, langkah tersebut sekali gus mempercepatkan pengesanan jenayah dan meningkatkan keberkesanan rondaan digital.

“AI juga mempercepatkan analisis forensik digital, membolehkan bukti seperti imej, fail, komunikasi dan metadata dianalisis dengan lebih pantas.

“Para akademik dan penyelidik di universiti tempatan turut berperanan membangunkan sistem AI yang boleh diintegrasikan dalam SOC, menyediakan latihan teknikal kepada pegawai serta membina model ramalan jenayah berasaskan data tempatan,” katanya kepada Sinar Ahad.

Pada Jumaat, Ketua Polis Negara yang baru dilantik, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berazam untuk mempertingkatkan keupayaan dan kredibiliti pasukan, terutama dalam menangani isu jenayah rentas sempadan dengan memanfaatkan penggunaan teknologi terkini.

Beliau berharap langkah itu akan dapat membawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke arah yang lebih cemerlang, selari dengan perubahan pemodenan pasukan itu, terutama yang melibatkan teknologi terkini termasuk AI.

“Untuk kita melaksanakan tugas kepolisan pada masa yang akan datang, pelaksanaan dan penggunaan AI menjadi isu yang saya rasa perlu diketengahkan, supaya pasukan kita lebih maju pada masa yang akan datang dan dapat menangani apa juga ancaman,” katanya.

Dalam pada itu, Mohsen Mohamad berkata, antara cabaran utama mungkin dihadapi pasukan berkenaan dalam aspek teknologi adalah kekurangan pegawai yang mahir dalam penggunaan AI dan pengurusan data besar.

Artikel Berkaitan:

“Tidak semua agensi keselamatan mempunyai kemudahan SOC yang lengkap atau sistem automasi forensik yang stabil. Di samping itu, kualiti dan konsistensi data menjadi faktor penting dalam memastikan ketepatan AI,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, teknologi pengecaman wajah, cap jari dan biometrik berasaskan AI boleh digunakan untuk mengesan individu dengan identiti palsu di pintu masuk sempadan atau kawasan strategik.

Katanya, kepakaran daripada industri dan universiti diperlukan bagi membangunkan sistem analitik merentas sempadan, menghasilkan model pemprofilan jenayah antarabangsa serta menyokong sistem simulasi dan latihan berdasarkan kes sebenar.

Sementara itu, Pakar Keselamatan Siber, Dr Suresh Ramasamy berkata, AI boleh digunakan sebagai alat untuk belajar dan memahirkan kebolehan siber, selain menangani jenayah siber secara langsung.

“Namun, alat-alat khusus bagi tujuan ini masih dalam tahap pembangunan,” katanya.

Menurut beliau, halangan bahasa adalah antara cabaran paling mudah yang boleh diatasi menggunakan AI dalam menyelesaikan kes jenayah rentas sempadan yang membabitkan konteks luar negara dan mungkin asing bagi polis tempatan.

Tambahnya, pembangunan AI bagi sistem keselamatan negara boleh dicapai melalui kerjasama antara agensi keselamatan, pakar teknologi dan sektor swasta.

“Kerjasama ini memungkinkan pembangunan SOC yang mantap dengan agensi keselamatan menyumbang data dan keperluan taktikal, manakala sektor swasta menyediakan teknologi analitik, sistem automatik dan penyelesaian forensik digital,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!