Sistem keselamatan awam perlu bebas rasuah, salah guna kuasa

Beberapa kejadian kemalangan ngeri melibatkan lori dan bas sehingga mengorbankan nyawa dikhuatiri menggugat keyakinan orang awam terhadap keselamatan jalan raya di negara ini. (Gambar kecil: Halmey.)
Beberapa kejadian kemalangan ngeri melibatkan lori dan bas sehingga mengorbankan nyawa dikhuatiri menggugat keyakinan orang awam terhadap keselamatan jalan raya di negara ini. (Gambar kecil: Halmey.)
A
A
A

SHAH ALAM - Sistem yang melindungi keselamatan awam perlu bebas daripada kelemahan dan ketirisan khususnya berpunca daripada rasuah atau salah guna kuasa.

Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Dr Nor Halmey Hamdah berkata, kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan berat bukan sekadar isu teknikal semata-mata tetapi mencerminkan tahap integriti dalam sistem pentadbiran.

“Rakyat berhak merasa selamat di jalan raya. Kerajaan bersama agensi terlibat mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa sistem yang melindungi keselamatan awam ini bebas daripada kelemahan dan ketirisan itu.

"Kami percaya bahawa pembaharuan ikhlas dan sistematik dapat dicapai dengan adanya kesungguhan politik, ketelusan dalam pengurusan dan sokongan daripada rakyat,” katanya.

Beliau menambah, beberapa kejadian kemalangan ngeri melibatkan lori dan bas sehingga mengorbankan nyawa dan mencederakan ramai dikhuatiri menggugat keyakinan orang awam terhadap keselamatan jalan raya di negara ini.

Justeru, Nor Halmey mengusulkan beberapa langkah proaktif termasuk pelaksanaan audit keselamatan bebas dan penetapan had umur operasi kenderaan

"Antara lain, dasar kerja berpaksikan kesejahteraan pemandu, pemantauan digital masa nyata, ketelusan dalam pemeriksaan teknikal dan penilaian prestasi keselamatan syarikat pengangkutan,"ujarnya lagi.

Beliau menegaskan bahawa nyawa rakyat tidak ternilai dan pencegahan sentiasa lebih baik daripada penyesalan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!