Pelajar IKTBN Temerloh maut, dua rakan cedera kemalangan di LPT1

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal ditunggang terlanggar belakang lori tunda rosak di KM208.3 LPT1 di sini pada Sabtu. FOTO FB POLIS TRAFIK KUANTAN
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal ditunggang terlanggar belakang lori tunda rosak di KM208.3 LPT1 di sini pada Sabtu. FOTO FB POLIS TRAFIK KUANTAN
A
A
A

KUANTAN - Perjalanan tiga pelajar Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Temerloh menghala ke Kuantan berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut selepas motosikal ditunggang merempuh belakang lori tunda rosak di Kilometer 208.3 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) di sini pada Sabtu.

Dalam kemalangan kira-kira jam 2.45 petang itu, mangsa, Muhammad Azril Syazwan Mohd Azmi, 19 beralamat dari Kuala Berang, Terengganu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, rakan mangsa, Syazwan Zaidi, 19 dan Hazeeq Khumaini Azhar, 19 cedera pada bahagian tangan.

Menurutnya, pemandu lori, lelaki berusia 28 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika tiga penuntut IKTBN Temerloh itu dalam perjalanan menghala ke Kuantan menaiki dua motosikal.

"Lori tunda yang juga dari arah sama dipercayai mengalami kerosakan sebelum berhenti di lorong kecemasan di lokasi kejadian," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda C100 dari arah belakang dipercayai hilang kawalan lalu terlanggar belakang lori tersebut.

"Pada masa sama sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 dinaiki dua lagi pelajar IKTBN Temerloh itu gagal mengelak lalu melanggar motosikal mangsa.

"Akibat kemalangan tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, dalam kemalangan itu, motosikal ditunggang mangsa dilapor terputus dua.

"Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Pihak polis mengesan saksi yang melihat kejadian bagi membantu siasatan," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!