Hentikan genosid di Gaza, bangkit bela Palestin – Ikram

Asap tebal menjulang di Jabalia, utara Semenanjung Gaza, semasa serangan Israel pada 19 Jun 2025. Foto AFP (Gambar kecil: Badlishah Sham)
Asap tebal menjulang di Jabalia, utara Semenanjung Gaza, semasa serangan Israel pada 19 Jun 2025. Foto AFP (Gambar kecil: Badlishah Sham)
A
A
A

SHAH ALAM – Semua pihak diseru untuk bangkit dan menggandakan usaha bagi menghentikan segera kezaliman Israel dan jenayah genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin berkata, serangan Israel terhadap Palestin bukanlah konflik antara dua pihak, sebaliknya merupakan satu bentuk pembasmian etnik.

Menurutnya, tindakan itu dilakukan secara sistematik oleh rejim penjajah Zionis dan telah diiktiraf sebagai jenayah genosid oleh Human Rights Watch.

“Kita mesti berani menyebutnya dengan nama sebenar, iaitu genosid. Memahami dan mengakui kebenaran ini adalah langkah pertama menuju keadilan.

“Tanpa keberanian untuk menamakan kezaliman genosid dengan jelas, segala usaha membela mangsa akan menjadi sia-sia,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau menegaskan, semua pihak perlu berpegang kepada prinsip moral yang teguh dan berpaksikan nilai kemanusiaan, antaranya dengan menyebarkan kesedaran tentang situasi sebenar di Gaza melalui media sosial serta menyertai perhimpunan aman.

Tambah Badlishah, adalah penting untuk memahami latar belakang konflik secara menyeluruh dengan mendapatkan maklumat daripada sumber rakyat Palestin sendiri agar naratif yang adil dan benar dapat diperjuangkan.

“Selain itu, kenal pasti dan boikot syarikat yang terlibat dalam penindasan, serta galakkan pilihan pengguna yang beretika.

Artikel Berkaitan:

“Hulurkan bantuan kepada organisasi yang telus dan aktif di lapangan kerana setiap sumbangan mampu membawa harapan baharu kepada mereka yang sedang bergelut untuk hidup,” jelasnya.

Tegasnya, tindakan menghentikan keganasan Israel perlu disegerakan demi menyelamatkan bukan sahaja rakyat Palestin, tetapi juga nilai-nilai kemanusiaan sejagat.

“Apa yang berlaku di Gaza bukan sekadar kisah yang jauh. Gaza sedang menjerit, dan masyarakat dunia sedang diuji. Ini adalah panggilan kepada kemanusiaan untuk semua.

“Setiap tindakan kita hari ini akan menentukan bentuk dunia bagi generasi akan datang.

“Gencatan senjata bukanlah keamanan sebenar, ia hanyalah jeda sebelum peluru seterusnya dilepaskan. Keamanan sebenar hanya wujud apabila rakyat hidup dalam kebebasan, kesaksamaan dan bermaruah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!