Polis teliti rakaman CCTV jejak penembak di Meru

KLANG - Polis sedang meneliti beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian tembak yang meragut nyawa seorang lelaki di Taman Meru Utama di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, siasatan lanjut di lokasi kejadian sedang dijalankan, termasuk usaha mengesan petunjuk melalui CCTV di kawasan sekitar.
“Setakat ini, rakaman CCTV yang berada di kawasan kejadian tidak dapat membantu siasatan, namun kami sedang meneliti beberapa CCTV lain yang terletak berdekatan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, beberapa individu telah dipanggil bagi memberikan keterangan dan rakaman percakapan, manakala saksi-saksi lain dijangka turut dipanggil dalam masa terdekat.
Tambah beliau, siasatan juga sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada kejadian itu mempunyai kaitan dengan unsur kongsi gelap atau motif lain.
Dalam kejadian Jumaat lalu, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 46 tahun ditemui maut dalam keadaan mengiring dengan kesan tembakan, di tempat duduk pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda di Lorong Mahang 1, Taman Meru Utama.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang hadir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
