Terpaksa dipapah naik pentas - Devaa buktikan sakit bukan penghalang genggam ijazah

SUNGAI PETANI – Kepayahan yang ditanggung akibat menghidap penyakit otot sejak tujuh tahun lalu tidak menghalang seorang penuntut Aimst University untuk meneruskan pengajian dan akhirnya berjaya menggenggam segulung ijazah.
Devaa Surendraa Silvadam, 26, yang menghidap penyakit jarang jumpa iaitu distrofi otot atau muscular dystrophy (MD), terpaksa dipapah oleh beberapa rakan untuk naik ke pentas semasa diraikan dalam Majlis Konvokesyen Ke-16 di Bedong, di sini, pada Sabtu.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kepujian Perniagaan dan Pengurusan Sistem Maklumat walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang tempoh lima tahun belajar apabila ototnya semakin lemah dan tulang belakang membengkok.
“Semasa diagnosis, saya sedang mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari, namun saya sering sakit. Akibatnya, saya gagal STPM.
“Walaupun ketika itu tertekan, cepat letih, tidak boleh berjalan jauh dan perlukan rehat mencukupi, namun dengan semangat daripada kedua-dua ibu bapa, mereka mendorong saya untuk menyambung pengajian,” katanya.
Menurutnya, sepanjang tempoh pengajian di universiti, beliau diberikan pelbagai kemudahan seperti tempat letak kereta berhampiran, kelas pengajian yang tidak memerlukan penggunaan tangga serta sokongan berterusan daripada rakan-rakan yang banyak membantu.

Kini bekerja sebagai penganalisis sistem perniagaan di sebuah syarikat di Pulau Pinang, Devaa menzahirkan penghargaan kepada majikannya yang memahami keperluan fizikalnya serta memberikan fleksibiliti kerja.
“Pengurus telah menempatkan saya di ruang pejabat yang berhampiran tandas dan menyediakan tempat letak kereta yang mudah dicapai agar saya tidak perlu banyak bergerak. Saya berjanji akan memberikan komitmen terbaik dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab,” ujarnya.
Devaa merupakan salah seorang daripada 829 graduan dari tujuh fakulti yang diraikan dalam majlis berkenaan yang turut melibatkan graduan antarabangsa dari India, Pakistan, Sudan dan Nigeria.
Majlis disempurnakan Canselor Aimst University, Tan Sri Dr SA Vigneswaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

