'Saya menangis terima sijil kematian Fatin Nasrien' - Ibu

BESUT – Hampir dua minggu selepas nahas bas yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), ibu kepada salah seorang mangsa masih belum mampu melupakan tragedi menyayat hati itu, malah tidak sanggup memegang baju anaknya yang dipakai ketika kejadian.
Norhasliza Yusof, 43, ibu kepada Allahyarham Fatin Nasrien Fadli, 22, berkata, sejak kehilangan anak sulungnya itu, beliau masih dihimpit kesedihan yang mendalam hingga tidak mampu menatap barangan peribadi milik arwah, termasuk pakaian terakhir yang dipulangkan pihak hospital.
"Setiap kali lihat beg dan pakaian arwah, saya akan sedih. Baju terakhir yang dipakainya semasa kejadian juga masih saya biarkan terlipat.
"Walaupun keadaan bajunya kelihatan masih elok, saya belum ada kekuatan untuk menyentuhnya," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman mereka di Kampung Kerandang, di sini, baru-baru ini.
Norhasliza yang bekerja sebagai pembantu kedai runcit berkata, anaknya itu dikenali sebagai seorang yang ceria, mesra dan rajin membantu serta merupakan harapan keluarga.

"Setiap hari saya akan tengok gambar-gambar arwah dalam telefon atau dalam album gambar. Rindu sangat suara dan gelak tawanya. Dia sangat rapat dengan saya dan neneknya.
"Waktu terima sijil kematian arwah sebelum ini, saya rasa sangat pilu sehingga menangis. Sukar untuk sembunyikan kesedihan," katanya lagi.
Sementara itu, suaminya, Fadli Abd Rahman, 50, yang bekerja sebagai tukang rumah, turut meluahkan rasa kehilangan dan mengakui masih terkesan dengan pemergian anak sulung daripada lima beradik itu.
"Fatin seorang anak yang tak banyak kerenah, sangat berdikari dan minat belajar. Kami bangga dengan semangatnya menuntut ilmu walaupun jauh dari keluarga.
"Dia juga amat minat dengan subjek Matematik. Kami harap adik-adiknya akan ikut jejak langkah arwah," katanya.
Nenek arwah, Aisah Abdul Rahim, 67, pula menyifatkan cucunya itu sebagai harapan keluarga dan sering pulang ke kampung setiap kali berkelapangan.
"Fatin selalu tolong saya di dapur. Kalau nak balik kampus, dia peluk dan cium saya dulu. Sekarang semua itu tinggal kenangan," ujarnya sebak.
Terdahulu, kisah keluarga ini tular apabila Fadli terpaksa meminjam kenderaan penghulu kampung untuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Perak bagi urusan pengecaman jenazah anaknya.
Keluarga ini turut menzahirkan penghargaan atas bantuan dan sumbangan orang ramai yang tidak putus-putus sejak kejadian itu berlaku.
Fatin Nasrien merupakan antara 15 mangsa yang maut dalam tragedi itu apabila bas yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sebelum terbalik berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak, pada 9 Jun lalu.
Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kerandang pada 10 Jun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!