Ibu pelajar UPSI cedera nahas alami komplikasi buah pinggang

Tuan Muhammad Adham (kanan) di samping bapanya, Tuan Adnan ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Alor Keladi, Besut pada Jumaat.
Tuan Muhammad Adham (kanan) di samping bapanya, Tuan Adnan ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Alor Keladi, Besut pada Jumaat.
A
A
A

BESUT – Di sebalik tragedi nahas bas yang mengorbankan dan mencederakan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini, tersingkap kisah menyayat hati melibatkan salah seorang mangsa, apabila kedua-dua ibu bapanya merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal.

Mangsa yang cedera, Tuan Muhammad Adham Tuan Adnan, 21, berkata, hidupnya bagaikan jatuh ditimpa tangga apabila ibunya dimasukkan ke hospital sejurus selepas beliau sendiri menjalani pembedahan memasukkan besi pada tangan kiri yang patah akibat kemalangan tersebut.

Ibunya, Zunidah Ibrahim, 51, dimasukkan ke Hospital Besut pada 13 Jun lalu akibat komplikasi buah pinggang tahap lima yang dihidapi sejak 2024.

Menurutnya, selain masalah buah pinggang, ibunya turut menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.

“Saya baru selesai pembedahan di Hospital Taiping dan dalam perjalanan pulang ke kampung, abang saya beritahu ibu dimasukkan ke hospital.

“Waktu tu saya rasa cemas, hanya fikir nak cepat sampai dan tengok keadaan ibu,” katanya ketika ditemui di Kampung Alor Keladi, di sini, pada Jumaat.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, beliau menerima 24 jahitan di tangan kiri dan dijangka menjalani proses membuka jahitan pada 25 Jun ini.

“Sekarang bila ke Klinik Jerteh untuk rawatan susulan, saya singgah juga ke hospital tengok keadaan ibu walaupun saya sendiri belum pulih sepenuhnya,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Lebih meruntun jiwa, bapanya, Tuan Adnan Nik Him, 60, yang mengalami kecacatan pada bahagian kaki, turut diuji dengan masalah penglihatan akibat penyakit katarak yang dialami sejak hampir dua tahun lalu.

“Saya ada masalah penglihatan, tak nampak, dan juga masalah fizikal, di mana saya mengalami kesukaran untuk bergerak… Ketika anak bongsu saya kemalangan itu, saya terpaksa meminta bantuan adik untuk ke Perak.

“Waktu itu, saya hanya mampu mendoakan yang terbaik dan menyerah semuanya kepada aturan Allah SWT, selain menunggu berita daripada bapa saudaranya yang ketika itu berada di Hospital Taiping,” kata Tuan Adnan.

Gambar Tuan Muhammad Adham (kiri) ketika menerima rawatan di Hospital Taiping dan ibunya, Zunidah (kanan) dimasukkan ke Hospital Besut akibat komplikasi buah pinggang. Foto ihsan keluarga
Gambar Tuan Muhammad Adham (kiri) ketika menerima rawatan di Hospital Taiping dan ibunya, Zunidah (kanan) dimasukkan ke Hospital Besut akibat komplikasi buah pinggang. Foto ihsan keluarga

Sementara itu, bapa saudaranya, Tuan Adli Nik Him, 42, berkata, abang dan kakak iparnya masing-masing memiliki kad OKU dan menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Abang saya tidak buta sejak lahir, tapi dia mengalami katarak dan perlu jalani pembedahan. Dua tahun kebelakangan ini, penglihatannya makin kabur dan kini hampir tidak nampak.

“Ibu Adham pula mengalami kecacatan fizikal pada bahagian mulut menyebabkan pertuturannya tidak begitu lancar.

“Abang saya kini menerima bantuan bulanan daripada JKM dan kami sekeluarga juga saling membantu dari segi kewangan dan keperluan lain,” katanya.

Tuan Adli berkata, meskipun diuji dengan kesempitan hidup akibat masalah kesihatan, ketiga-tiga anak pasangan itu berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.

“Kakak sulung Muhammad Adham belajar di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Jeli, manakala abangnya pula yang belajar di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kini sedang menjalani latihan industri,” ujarnya.

Dalam kejadian tragis pada 9 Jun lalu, seramai 15 pelajar UPSI maut, manakala 33 lagi cedera apabila bas yang dinaiki mereka hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh sebuah Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak.

Tiga rakan Adham, iaitu Allahyarham Muhammad Adib Hazim Halim, Nurul Fatihah Abu Setaman, serta Nurul Izyanti Muhamad Azahar, antara yang terkorban dalam tragedi tersebut.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menghubungi Tuan Adli di talian 013-9757896.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!