'Rumah rosak dan uzur, tidak mampu baiki sendiri'

KUANTAN – Bantuan membaiki rumah yang diterima ibarat 'rezeki' buat dua keluarga di Kampung Telok Mahang, Batu 5 di sini, yang sebelum ini terpaksa berteduh dalam keadaan tidak selesa apabila rumah didiami rosak dan uzur.
Bagaimanapun, bantuan diterima menerusi inisiatif Lembaga Pelabuhan Kuantan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan itu memberi sedikit sinar kepada keluarga terbabit.
Salah seorang penerima bantuan, Azmadi Husin, 47, berkata, bantuan itu amat bermakna buat dirinya dan keluarga, lebih-lebih lagi untuk empat anaknya yang berusia antara dua hingga 14 tahun.
Menurutnya, rumah usang yang didiami hampir 10 tahun itu bukan sahaja tidak selesa, malah berisiko kepada keselamatan keluarga.
“Atap bocor dan bila hujan, ruang dalam rumah habis basah. Kami anak-beranak hendak tidur pun tidak lena.
“Lantai rumah juga reput. Pernah isteri jatuh sebab lantai runtuh. Anak pula tergelincir dalam bilik air, mujur kedua-duanya tidak mengalami kecederaan serius," katanya ketika ditemui pada Sabtu.
Azmadi yang bekerja sebagai buruh landskap mengakui terharu dan bersyukur atas bantuan yang diterima kerana beliau tidak mampu untuk membaiki rumah tersebut sendiri.
“Bila dapat bantuan macam ini, ia satu rezeki kerana selepas ini kami boleh tinggal dengan lebih selesa,” katanya penuh kesyukuran.
Bagi Nazarul Hisham Yusuf, 51, yang bergantung kepada kerusi roda selepas sebelah kakinya terpaksa dipotong akibat komplikasi kencing manis, turut menyifatkan bantuan tersebut sebagai rezeki buat dirinya dan keluarga.

Beliau berkata, rumah asal yang dibina di tapak itu sebelum ini musnah dalam kebakaran.
“Dengan bantuan zakat, rumah seadanya dibina semula di tapak sama.
“Bagaimanapun, kami sekeluarga terpaksa tinggal bersesak dalam keadaan tidak selesa kerana sempit, selain ruang dalam rumah sering basah akibat tempias setiap kali hujan,” katanya yang tinggal bersama isteri dan enam anak.
Beliau berkata, pihak Lembaga Pelabuhan Kuantan membantu membina ruang tambahan di bahagian hadapan rumah untuk keselesaan keluarganya.
“Saya yang tidak bekerja memang tidak mampu hendak baiki sendiri. Jadi bila dapat bantuan ini, syukur sangat dengan rezeki yang diterima,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Jemaah Lembaga Pelabuhan Kuantan, Datuk Amadaldin Hamzah berkata, program gotong-royong baik pulih rumah daif itu merupakan inisiatif julung kali diadakan bersama IPD Kuantan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Gudang Rasau sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Menurutnya, 10 buah rumah disenaraikan dalam program tersebut melibatkan dua rumah di kawasan Telok Mahang, lima di Sungai Soi dan tiga lagi di Tanjung Lumpur.
“Bantuan ini kita tidak ambil kira status rumah, sebaliknya apabila rumah itu kita rasakan perlu dibaiki, kita bantu demi keselesaan dan keselamatan keluarga terlibat.
“Kita tinjau dan lihat sendiri banyak rumah yang begitu uzur dan tidak selamat dihuni, namun keluarga terlibat tiada pilihan lain selain terus bertahan atas kekangan kewangan," katanya ketika ditemui pada program gotong-royong itu pada Sabtu.
Turut hadir, Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Kuantan, Hasnita Mohd Hanapiah.
Amadaldin berkata, bantuan baik pulih rumah itu melibatkan pembaikan sementara seperti mengganti atap bocor, menukar papan lantai serta membaiki kerosakan yang perlu.
“Program gotong-royong baiki rumah penduduk ini dibuat secara berperingkat bergantung kepada tahap kerosakan dan kemampuan kewangan.
“Pendekatan gotong-royong digunakan bagi menjimatkan kos dan menggalakkan penyertaan masyarakat.
“Kita harap syarikat-syarikat korporat lain pun dapat sama-sama menyumbang. Kalau semua main peranan, lebih ramai golongan susah boleh dibantu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!