Ikan lumba-lumba Irrawaddy mati tersangkut pukat pari haram


KUALA KEDAH – Seekor ikan lumba-lumba Irrawaddy, spesies marin terancam yang semakin sukar ditemui di perairan negara, ditemui mati dipercayai akibat tersangkut pada pukat pari yang dipasang secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Ikan malang itu ditemui oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah ketika rondaan rutin kira-kira 1.1 batu nautika dari muara Kuala Kedah pada jam 11 pagi, Jumaat.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, penemuan tragis itu susulan rampasan sebidang pukat pari yang dianggarkan bernilai RM2,000, dipercayai dipasang secara haram bagi tujuan menangkap ikan secara tidak sah.
“Pukat pari adalah antara alat yang telah diharamkan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana bersifat tidak selektif; ia memerangkap bukan sahaja pari dan ikan kecil, tetapi juga hidupan marin yang dilindungi seperti ikan lumba-lumba Irrawaddy,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Ikan lumba-lumba Irrawaddy atau nama saintifiknya Orcaella brevirostris, turut dikenali sebagai empesut, merupakan spesies unik dan semakin pupus di Asia Tenggara termasuk Malaysia.
Kehilangan seekor sahaja memberi kesan besar kerana populasi haiwan itu di perairan negara sangat kecil dan sukar dikesan.
Menurut Noor Azreyanti, rampasan terbaharu itu menjadikan enam kes melibatkan pukat pari berjaya dirampas sepanjang tahun ini di bawah pemantauan Zon Maritim Kuala Kedah, sekali gus mencerminkan usaha berterusan membanteras kaedah penangkapan ikan yang merosakkan habitat laut.
Beliau turut menegaskan bahawa penggunaan pukat pari bukan sahaja menjejaskan populasi ikan pari, yang memainkan peranan penting sebagai pemangsa dasar laut, malah turut mengganggu keseluruhan ekosistem marin.
“Jika dibiarkan tanpa kawalan, ia boleh membawa kepada kepupusan bukan sahaja ikan pari, malah spesies marin lain yang bergantung kepada rantaian makanan ini,” katanya lagi.
Maritim Malaysia dalam pada itu menyeru komuniti nelayan dan masyarakat maritim agar lebih prihatin terhadap pemuliharaan biodiversiti laut serta tampil melaporkan sebarang aktiviti tangkapan haram melalui talian 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di 04-7310579.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!