Tubuh majlis vape, tangani salah guna

Pemain industri peranti rokok elektronik atau vape mencadangkan penubuhan Majlis Pemantauan Vape Malaysia bagi menangani isu penyalahgunaan dalam kalangan belia termasuk pelajar sekolah. Gambar hiasan
Pemain industri peranti rokok elektronik atau vape mencadangkan penubuhan Majlis Pemantauan Vape Malaysia bagi menangani isu penyalahgunaan dalam kalangan belia termasuk pelajar sekolah. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pemain industri peranti rokok elektronik atau vape mencadangkan penubuhan Majlis Pemantauan Vape Malaysia bagi menangani isu penyalahgunaan dalam kalangan belia termasuk pelajar sekolah.

Pengarah Urusan Nanostix Innovations Sdn Bhd, Shahabudeen Jalil berkata, majlis itu boleh diletakkan di bawah pemantauan kerajaan dengan kerjasama agensi berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pihak berkuasa tempatan.

"Penubuhan majlis berkenaan akan membolehkan kawal selia industri vape dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan bersepadu melibatkan aspek pengilangan, pengedaran, kawalan produk dan penguatkuasaan.

"Penyalahgunaan dadah menerusi peranti vape kini menjadi cabaran baharu yang perlu ditangani segera," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, pihaknya turut komited bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi membanteras penyalahgunaan ini.

Dalam perkembangan sama, Shahabudeen menggesa kerajaan mengharamkan sepenuhnya penjualan terbuka peranti vape serta cecair isian semula.

"Hanya produk yang berdaftar, dikawal dan dipantau wajar dibenarkan berada di pasaran bagi mengelakkan penyalahgunaan.

"Penguatkuasaan di pintu sempadan negara ditingkatkan bagi mengekang penyeludupan cecair haram serta pemantauan berkala ke atas premis-premis tempatan juga penting bagi memastikan produk tidak sah tidak terus beredar dalam pasaran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mencadangkan supaya kempen kesedaran berkaitan bahaya penyalahgunaan dadah melalui vape dilaksanakan di sekolah sebagai langkah pencegahan awal.

Katanya, pihak berkaitan wajar diberi mandat untuk menjalankan program pendidikan dan kesedaran secara berkala kepada pelajar.

Sinar Harian pada 18 Jun lalu melaporkan, Perdana Menteri menzahirkan kebimbangan terhadap penglibatan anak-anak Melayu dalam penyalahgunaan dadah dan rokok elektronik.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu tersebut memerlukan perhatian serius serta penyelesaian yang tuntas kerana ia melibatkan masa depan generasi muda.

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sebelum ini berkata kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap platform dalam talian yang membenarkan penjualan produk terlarang termasuk cecair vape mengandungi dadah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!