AGC perlu bertindak pulihkan integriti pendakwaan - Bekas KP SPRM

Dzulkilfi
Dzulkilfi
A
A
A

SHAH ALAM – Jabatan Peguam Negara (AGC) di bawah pimpinan Datuk Mohd Dusuki Mokhtar perlu bertindak tegas memulihkan semula integriti institusi undang-undang negara.

Gesaan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad berpandangan bahawa AGC wajib memastikan setiap pertuduhan di masa hadapan disokong dengan bukti yang mencukupi serta pasukan pendakwaan bersedia dari hari pertama perbicaraan.

Menurut beliau, prosedur semakan dalaman juga perlu diwujudkan bagi memantau dan mengambil tindakan terhadap kes-kes lama atau berprofil tinggi yang masih tertangguh.

“Keputusan kes Najib mencetuskan semula kebimbangan serius terhadap integriti, profesionalisme dan kebertanggungjawaban dalam sistem pendakwaan negara ini.

“Pihak pendakwaan sendiri mengakui mereka belum bersedia untuk meneruskan kes. Ini bukan sekadar kelewatan, tetapi satu kegagalan tadbir urus yang mesti ditangani segera,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, sepanjang pentadbiran dua bekas Peguam Negara sebelum ini iaitu Tan Sri Idrus Harun dan Tan Sri Ahmad Terriruddin Mohd Salleh, kes tersebut tidak menunjukkan sebarang perkembangan ketara, semakan menyeluruh atau penyelesaian konkrit.

Beliau berkata, kelewatan yang berlarutan ini bercanggah dengan Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kepada perbicaraan adil dan segera, serta Perkara 8(1) yang menjamin kesamarataan di sisi undang-undang.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa Hakim K Muniandy memutuskan perintah DNAA terhadap Najib pada 11 Jun lalu selepas menerima permohonan daripada pihak pembelaan.

Artikel Berkaitan:

Ketika membacakan keputusan, beliau memaklumkan bahawa tertuduh telah berdepan dengan pertuduhan tersebut tanpa sebarang penyelesaian dalam tempoh masa yang tidak menentu, memandangkan kesalahan didakwa berlaku pada 2014 tetapi pertuduhan hanya difailkan lima tahun kemudian.

Hakim turut menyatakan bahawa proses kehakiman telah disalahgunakan menerusi pelbagai penangguhan, menyebabkan kes kekal dalam sistem mahkamah sejak 2019 tanpa penyelesaian.

Mengulas lanjut, Dzulkifli yang juga bekas timbalan pendakwa raya berpendapat bahawa fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya perlu dipisahkan bagi menghapuskan konflik kepentingan dan memperkukuh kebebasan institusi pendakwaan.

“Keadilan tidak boleh didakwa hari ini, ditangguhkan bertahun-tahun dan kemudian dipertahankan.

“Jika sistem perundangan negara ingin dihormati, ia mesti telus, cekap dan bebas. Ini bukan masanya untuk berdiam diri secara institusi, sebaliknya bertindak segera.

“Reformasi mesti bermula dengan sebuah badan pendakwaan yang profesional, berprinsip dan bersedia. Peguam Negara juga perlu memastikan usaha ini berjaya tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!