PKPIM gesa dasar SSM diperketat elak entiti tertentu salah guna nama Islam

Muhammad Dzul Aiman
Muhammad Dzul Aiman
A
A
A

SHAH ALAM – Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menggesa kerajaan agar memperketat dasar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi mengelakkan penyalahgunaan nama Islam oleh entiti yang tidak mencerminkan ajaran sebenar.

Presidennya, Muhammad Dzul Aiman Zulkefly, berkata langkah tersebut penting sebagai langkah pencegahan terhadap penyebaran fahaman yang bertentangan dengan prinsip Islam.

“Kami menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam kes rayuan antara Sisters in Islam (SIS) Forum (Malaysia) dan Kerajaan Negeri Selangor yang mempertegaskan kedudukan serta bidang kuasa fatwa dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

“Mahkamah Persekutuan telah menyatakan secara jelas bahawa fatwa hanya terpakai kepada individu beragama Islam, selaras dengan Perkara 74 dan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, PKPIM berpandangan bahawa keputusan berkenaan turut menolak fahaman liberalisme dan pluralisme agama yang menyeleweng kerana menafikan kebenaran mutlak agama Islam.

“Fatwa mengenainya penting untuk melindungi akidah umat, selaras dengan maqasid syariah, kerana fatwa merupakan panduan yang menyeru kepada kebaikan dan taubat, bukan bentuk hukuman.

“Perkara itu juga mencerminkan kasih sayang dan tanggungjawab dakwah oleh institusi Islam,” katanya.

Dalam pada itu, PKPIM turut menyeru agar wacana Islam yang berpaksikan wahyu diperluaskan di kampus, masjid dan media demi membina daya tahan intelektual dalam menghadapi cabaran semasa.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga mengajak semua pihak untuk menjadikan keputusan ini sebagai titik tolak kepada dialog yang lebih ilmiah, matang dan berakhlak dalam membina masyarakat yang celik agama serta bertunjangkan nilai-nilai Islam.

“Dalam menghadapi arus pascamodernisme dan kekeliruan budaya, pemikiran Islam yang bersumberkan wahyu serta tradisi keilmuan sahih wajar menjadi kompas utama generasi muda dalam memimpin perubahan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!