KPKM lulus 220 projek agro makanan di seluruh negara

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meluluskan 220 projek di bawah Program Mengoptimumkan Penggunaan Tanah dengan kerjasama kerajaan negeri bagi tahun 2024 dan 2025.
Menurut kenyataan KPKM pada Jumaat, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM300 juta melalui Bajet 2025 untuk melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan dalam sektor pertanian, ternakan, perikanan, agro-pelancongan serta program pembangunan kapasiti peladang, nelayan dan penternak.
“Peruntukan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh ekosistem agromakanan negara secara menyeluruh, melibatkan tanah-tanah di bawah bidang kuasa bersama antara Kerajaan Negeri dan KPKM,” kata kenyataan itu.
Inisiatif tersebut antara perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Bilangan 1 Tahun 2025 bersama Exco-Exco Pertanian Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada pada Khamis,
Mesyuarat tersebut turut membincangkan cadangan memperkemas pengurusan kawasan ‘grey area’ di jelapang padi dengan menyerahkan aset yang tidak jelas pemilikannya kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri atau daerah.
Langkah ini bertujuan memastikan pengoperasian sistem pengairan sawah padi dilaksanakan secara lebih cekap dan berkesan.
“Cadangan ini dijangka menyelesaikan isu pertindihan tanggungjawab antara IADA dan JPS serta meningkatkan hasil pengeluaran padi negara,” jelas KPKM.
Selain itu, mesyuarat juga membincangkan cadangan penyerahan rasmi 51 kompleks Ladang Satelit Nasional (LSN) yang dibina oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan di atas tanah milik kerajaan negeri di Negeri Sembilan, Johor dan Perak.
“Penyerahan ini akan membolehkan kerajaan negeri mengurus dan menyelenggara aset tersebut secara sah, sistematik dan berlandaskan undang-undang, sekali gus menjamin kelangsungan operasi penternakan,” katanya.

KPKM turut mengambil maklum Dapatan Interim Banci Pertanian 2024 dan pembangunan Sistem Integrasi Digital Pangkalan Data Pertanian Bersepadu (TaniStats).
Sistem ini disifatkan sebagai ‘game changer’ kerana menghimpunkan data daripada semua agensi dan pemain utama industri untuk dimanfaatkan oleh kerajaan negeri dalam merangka dasar dan hala tuju pembangunan sektor agromakanan yang lebih berimpak tinggi.
Dalam masa sama, mesyuarat turut mengambil maklum cadangan pindaan Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 (Akta 634) serta penggubalan Rang Undang-Undang Kualiti Benih Tanaman baharu.
“Langkah ini bertujuan memperkukuh sistem perlindungan hak pembiak baka serta meningkatkan pengawalseliaan kualiti benih tanaman bagi menyokong pembangunan industri agromakanan negara secara mampan dan berdaya saing,” menurut kenyataan itu.
Isu penyeludupan ternakan di sempadan Malaysia–Thailand juga diberi perhatian. KPKM memaklumkan, tindakan strategik secara menyeluruh perlu dilaksanakan bagi memastikan sektor ternakan kekal bebas daripada ancaman penyakit dan terus berdaya saing.
Mesyuarat ini dianggap sebagai platform strategik yang menyatukan komitmen Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam merancang serta melaksanakan agenda pembangunan agromakanan negara secara lebih bersepadu.
“Melalui pendekatan menyeluruh yang berpaksikan kesejahteraan rakyat, pelbagai inisiatif akan terus digerakkan untuk memperkukuh rantaian nilai agromakanan, memperluas akses teknologi dan inovasi, serta memastikan ekosistem pengeluaran makanan negara mampu berdaya tahan menghadapi cabaran global,” ujar KPKM.
Kesungguhan ini selari dengan aspirasi Malaysia Madani untuk membina sektor agro makanan yang mampan, menjana pertumbuhan ekonomi luar bandar dan menjamin kemakmuran negara secara holistik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

