Wanita dihina dan diikat pada pokok kerana hutang suami

Sirisha telah diikat pada sebatang pokok dan dipaksa menghubungi suaminya supaya melangsaikan hutang. Foto Agensi
Sirisha telah diikat pada sebatang pokok dan dipaksa menghubungi suaminya supaya melangsaikan hutang. Foto Agensi
A
A
A

ANDHRA PRADESH – Seorang wanita berusia 29 tahun berdepan detik memalukan apabila diikat pada sebatang pokok dan dihina secara terbuka oleh penduduk kampung di Narayanapuram, daerah Chittoor, gara-gara isu hutang yang belum dilunaskan oleh suaminya.

Mangsa, Sirisha, yang juga isteri kepada Thimmarayappa, pulang dari Bengaluru pada Isnin lalu untuk mengambil Sijil Pindah Sekolah (TC) anak-anaknya apabila dia diserang oleh penduduk yang menuntut bayaran hutang suaminya.

Menurut Timbalan Ketua Polis Kuppam, B Parthasarathi, Sirisha telah diikat pada sebatang pokok dan dipaksa menghubungi suaminya supaya melangsaikan hutang.

Ketegangan bertambah buruk apabila anak perempuan mangsa dikatakan menampar salah seorang penduduk.

Polis mengesahkan pasangan itu berhutang kira-kira 80,000 Rupee (RM3,993) kepada seorang penduduk bernama Munikannappa, selain jumlah yang tidak dinyatakan kepada beberapa organisasi tempatan.

Berikutan insiden itu, polis telah menahan lima individu dan membuka siasatan mengikut Seksyen 115, 126, dan 112 dibaca bersama Seksyen 3 di bawah Kanun Jenayah Bharatiya Nyaya Sanhita (BNS).

Sirisha memberitahu pihak berkuasa bahawa suaminya telah meninggalkannya di Bengaluru enam bulan lalu. Namun, polis tidak menolak kemungkinan mereka masih berhubung berkaitan urusan kewangan.

Ketua Menteri Andhra Pradesh, N Chandrababu Naidu – yang juga Ahli Dewan Undangan bagi kawasan Kuppam – mengecam insiden tersebut dan mengarahkan tindakan tegas diambil terhadap suspek.

Artikel Berkaitan:

“Insiden tidak berperikemanusiaan ini tidak boleh diterima. Polis diminta beri sokongan penuh kepada keluarga mangsa dan pastikan keadilan ditegakkan,” tegas Naidu dalam kenyataan rasmi.

Beliau turut menggesa agar program kesedaran undang-undang dilaksanakan di kawasan luar bandar bagi mengelakkan tindakan luar jangka dalam masyarakat.-Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!