Membetulkan yang biasa, membiasakan yang betul

DALAM perjalanan lebih enam dekad Malaysia selepas era kolonialisme, pembinaan negara bangsa kekal sebagai proses yang belum selesai.
Kita pernah menempuh detik hitam seperti peristiwa 13 Mei 1969 yang meninggalkan pengajaran mendalam tentang pentingnya ideologi nasional yang kukuh sebagai benteng kepada kestabilan dan perpaduan. Hari ini, pembinaan negara bangsa memerlukan rangka nilai yang ampuh.
Peristiwa silam menuntut kita terus berpaut pada sejarah kenegaraan dan Perlembagaan sebagai bingkai penyatuan. Dasar Ekonomi Baru (DEB), Rukun Negara dan semangat federalisme adalah warisan penting yang kini diperkuat semula melalui pendekatan Madani.
Dalam konteks Malaysia Madani, empat nilai utama diangkat sebagai panduan: keadilan, inklusiviti, perpaduan dan kesetiaan kepada gagasan nasional.
Nilai-nilai ini diterjemah dalam empat amalan bekerja: teliti, integriti, empati dan keadilan. Prinsip ini bukan sekadar slogan tetapi dijelmakan dalam dasar kerajaan yang menolak pendekatan populis semata-mata demi keuntungan jangka pendek.
Sebaliknya, pendekatan baharu yang diterapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berasaskan polisi mampan, telus dan berani. Contohnya, langkah mengawal kos sara hidup melalui program seperti Jualan Rahmah Madani dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) membuktikan kerajaan serius membantu rakyat tanpa membebankan kewangan negara.
Usaha ini terbukti berkesan apabila kadar inflasi Malaysia kekal terkawal, hanya 1.4 peratus pada April dan Mei 2025, iaitu paras terendah sejak 2021. Purata inflasi sepanjang 2024 juga mencatat 1.83 peratus, menurun berbanding 2.49 peratus pada 2023, menandakan trend kestabilan harga di bawah pengurusan kerajaan Madani.
Era pasca normal mewujudkan fenomena fear factor dan trust deficit. Kenaikan harga barang, ancaman ekonomi global serta jurang sosial semakin meruncing.
Namun di bawah kepimpinan Anwar, pendekatan business is not as usual diangkat sebagai teras. Beliau menekankan prinsip membetulkan yang biasa, di samping membiasakan yang betul - yang menjadi tunjang kepada pembaharuan pentadbiran.
Langkah menoktahkan rasuah, menstruktur semula subsidi dan menggalakkan pentadbiran holistik merentas jabatan kerajaan adalah antara usaha besar untuk membetulkan amalan pentadbiran yang silap.
Dengan pendekatan inklusif dan dialog terbuka, kerajaan Madani mengajak rakyat berganding bahu menghadapi cabaran global tanpa menggadaikan nilai keadilan dan integriti.
Keyakinan ini turut diperkukuh dengan dasar fiskal responsif, selaras dengan unjuran Bank Negara Malaysia bahawa kadar inflasi dijangka kekal sederhana antara 2 peratus hingga 3.5 peratus tahun ini yang memberikan ruang bagi kerajaan merencana subsidi secara bersasar.
Kepimpinan Anwar menonjol kerana gabungan idealisme dan realisme. Pengalaman panjang beliau mendepani krisis politik dan perjuangan reformasi menjadi aset besar dalam memahami denyut nadi rakyat.
Beliau tidak sekadar bercakap soal prinsip tetapi komited menjadikan nilai Madani sebagai budaya kerja dalam pentadbiran.
Kerajaan di bawah pimpinan beliau berusaha mengembalikan keyakinan rakyat melalui dasar yang terbuka, telus, dan berpaksikan kesejahteraan bersama. Inisiatif seperti program bantuan bersasar, penjimatan perbelanjaan kerajaan dan memerangi pembaziran membuktikan kerajaan Madani bukan sekadar wacana indah dan retorik, tetapi langkah pembetulan yang tegas dan bertanggungjawab.
Kepimpinan Anwar dan kerangka Malaysia Madani adalah strategi tuntas untuk membawa Malaysia melangkah dengan yakin dalam era pasca normal, di mana beliau sedang memperbetulkan segala kebiasaan di samping membiasakan hal-hal yang betul. Ia mendidik rakyat agar berpegang pada nilai keadilan, integriti dan inklusiviti.
Betulkan yang biasa, biasakan yang betul! Dengan semangat perpaduan, kerjasama dan nilai Madani, Malaysia akan terus berdiri megah sebagai negara bangsa yang dihormati dan disegani di mata dunia. Ini Malaysia kita, milik kita bersama untuk diwariskan kepada generasi mendatang.
*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!