Minyak dunia naik, RON95 kekal – Anwar

ISKANDAR PUTERI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa kerajaan tidak menaikkan harga minyak RON95 walaupun berlaku kenaikan mendadak dalam pasaran minyak dunia.
Menurut beliau, kerajaan tetap mengambil keputusan untuk tidak menaikkan harga semasa RON95 kerana mengambil kira kesannya kepada rakyat dan ekonomi negara.
“Minyak ini harganya naik turun. Sekarang ini keadaannya (harga global) agak rendah, tetapi bila naik, ia naik mendadak.
"Namun kerajaan tidak menaikkan harga minyak kerana mengambil kira kesannya kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Seminar Pemantapan Organisasi dan Pertemuan Bersama Presiden Keadilan di Medini pada Khamis.
Sebelum itu, media melaporkan harga minyak boleh melonjak sehingga AS$130 setong sekiranya Iran memutuskan untuk menutup Selat Hormuz, menurut laporan Sputnik/RIA Novosti yang memetik akhbar Turkiye Hurriyet pada Isnin.
Ahli Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen Iran, Esmail Kowsari, berkata pada Sabtu bahawa Tehran sedang mempertimbangkan untuk menutup selat itu sebagai tindak balas terhadap serangan Israel.
Selat Hormuz mengendalikan 20 peratus penghantaran minyak global dan 80 peratus daripada perdagangan minyak serta gas asli cecair (LNG) bagi Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Akhbar itu meramalkan konflik antara Israel dan Iran akan berterusan, sambil menambah bahawa kesan peperangan terhadap ekonomi dunia bergantung kepada tempoh dan tahap peningkatan serangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

