Penguat kuasa turun padang hanya kumpul data bukan ambil tindakan – Fuziah

JOHOR BAHRU - Peniaga mikro seperti pengusaha dobi layan diri dan kedai makan diberi jaminan bahawa tidak akan dikenakan tindakan penguatkuasaan melalui Ops Gasak akan dikenakan sehingga 31 Oktober ini.
Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Dr Fuziah Salleh berkata, jaminan itu diberikan susulan timbul kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan peniaga kecil yang menggunakan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi.
Menurutnya, kehadiran pegawai penguat kuasa ke premis perniagaan bukan untuk mengambil tindakan, sebaliknya sekadar mengumpul data dan maklumat sebagai syor kepada Kabinet bagi meneliti semula pindaan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) (Pindaan) 2021.

“Setakat ini, saya tegaskan bahawa tindakan tidak akan diambil terhadap kedai makan kecil, gerai tepi jalan dan dobi layan diri sehingga Ops Gasak selesai.
“Sekiranya penguat kuasa turun padang, ia hanya untuk kutipan maklumat dan data.
"Libat urus yang diadakan hari ini juga antara pendekatan mengumpul data kerana kita mahu tahu corak penggunaan LPG dan impaknya kepada pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Program Penguatkuasaan dan Advokasi Kepenggunaan bersama pemain industri di Hotel Trove, di sini, pada Khamis.
Sebelum ini, KPDN melaksanakan Ops Gasak bermula 1 Mei bagi membanteras ketirisan dan penyelewengan tong LPG bersubsidi terutama dalam kalangan industri berskala sederhana dan besar.
Selain itu, operasi tersebut turut menyasarkan kegiatan haram seperti pemindahan LPG bersubsidi ke tong tidak bersubsidi untuk tujuan komersial dan penyeludupan.
Ops Gasak dilaksanakan hingga 31 Oktober ini berdasarkan peruntukan di bawah PPKB (Pindaan) 2021 yang mula berkuat kuasa pada 15 Oktober 2021.
Mengulas lanjut Fuziah memaklumkan, tindakan hanya dikenakan terhadap industri berskala besar seperti hotel yang dikesan menggunakan LPG bersubsidi dalam operasi cucian seperti tuala dan cadar kerana ia merupakan ketirisan.
“Kita boleh beri jaminan bahawa pihak penguat kuasa tidak akan ambil tindakan terhadap peniaga mikro yang menggunakan gas bersubsidi sehingga 31 Oktober ini. Apabila semua dapatan dikumpul, ia akan dibawa sebagai syor.
“Keputusan belum dimuktamadkan kerana kabinet telah bersetuju untuk meneliti semula pindaan akta.
"Maka saya sekali lagi tegaskan, tiada tindakan ke atas kedai makan, gerai kecil dan dobi layan diri sepanjang Ops Gasak dijalankan,” katanya.
Dalam pada itu, Fuziah menjelaskan, peniaga yang menyimpan lebih tiga tong LPG bersubsidi tetap perlu mendapatkan permit atas faktor keselamatan.
“Contohnya, jika kedai makan menyimpan lebih tiga tong gas, maka mereka perlu mohon permit kerana melibatkan aspek keselamatan, dan peraturan ini kekal.
“Namun sebelum ini, dalam pindaan akta, mereka yang mohon permit diwajibkan guna gas tanpa subsidi. Oleh sebab itu, kita sedang lihat semula perkara ini.
“Sekarang kita akan semak sistem dan pastikan mereka tetap perlu mohon permit, tetapi tidak lagi diwajibkan guna gas tanpa subsidi,” katanya.
Menurut beliau, sesi libat urus yang diadakan sangat berkesan kerana memberi ruang kepada peniaga mengemukakan soalan dan kekeliruan berkaitan isu lesen.
“Lesen penting demi keselamatan, selain memastikan tiada ketirisan LPG bersubsidi dalam sektor industri,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

