37 kenderaan berat disita ingkar larangan pemanduan musim raya

KOTA BHARU - Sebanyak 37 kenderaan berat disita kerana gagal mematuhi Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang mula dikuatkuasakan pada Sabtu lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Jazmanie Shafawi, berkata, sehingga Isnin keseluruhan 106 tindakan penguatkuasaan direkodkan di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, 49 notis P22 dikeluarkan kerana gagal mematuhi waktu larangan dan 37 kenderaan berat disita.
“Sebanyak 20 lagi membabitkan notis teknikal termasuk kerana tayar botak dan isu keselamatan lain,” katanya pada sidang akhbar sempena Op Tahun Baharu Cina 2026 di Terminal Bas Lembah Sireh di sini pada Isnin.
Beliau berkata, Negeri Sembilan merekodkan tindakan tertinggi dengan 35 kes, diikuti Selangor 16 kes, Pulau Pinang 15 kes, Perak 12 kes dan Terengganu sembilan kes.
“Perintah larangan yang sama akan dikuatkuasakan sekali lagi pada 21 dan 22 Februari ini.
“JPJ akan terus memperketat pemantauan bagi memastikan kenderaan barangan tidak berada di jalan raya sepanjang tempoh larangan demi keselamatan pengguna,” katanya.
Dalam perkembangan sama, JPJ turut memberi penekanan terhadap penguatkuasaan melibatkan penunggang motosikal yang dikenal pasti sebagai kumpulan paling berisiko di jalan raya.
“Sebanyak 41,332 motosikal diperiksa di seluruh negara dalam Op TBC ini.
“Daripada jumlah itu, 7,414 notis P22 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan manakala 103 motosikal disita bagi memastikan aspek keselamatan dan pematuhan undang-undang terus dipertingkatkan,” katanya.
Ringkasan AI
- Sebanyak 37 kenderaan berat disita kerana gagal mematuhi Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan sempena Tahun Baharu Cina
- Sehingga Isnin, 106 tindakan penguatkuasaan direkodkan oleh JPJ di seluruh negara
- 49 notis P22 dikeluarkan kerana gagal mematuhi waktu larangan pemanduan
- Negeri Sembilan merekodkan tindakan penguatkuasaan tertinggi dengan 35 kes
- Perintah larangan pemanduan akan dikuatkuasakan lagi pada 21 dan 22 Februari
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

