Maritim gagalkan nelayan haram, 1,742 bubu naga dilupuskan

PARIT BUNTAR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melupuskan 1,742 unit bubu naga yang digunakan secara haram di sepanjang 123 kilometer perairan Kerian dan Larut Matang di sini.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Hairil Othman berkata, kesemua peralatan bernilai RM176,640 itu adalah hasil pelaksanaan penguatkuasaan secara berterusan menerusi Op Sayong tahun lalu.
Menurutnya, pelupusan berkenaan melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan turut melibatkan dua tangkapan warga asing yang kini telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

“Bubu naga seperti yang kita sedia maklum adalah peralatan yang dilarang penggunaannya di perairan negara kerana ia bersifat destruktif dan tidak lestari.
“Penggunaannya bukan sahaja menjejaskan ekosistem laut, malah mengancam populasi ikan yang menjadi sumber rezeki kepada nelayan kita.
“Pelupusan ini adalah simbol komitmen kerajaan dan agensi penguat kuasa dalam menangani kegiatan perikanan haram dan melindungi sumber perikanan negara,” katanya dalam sidang media di Pejabat Zon Maritim Kuala Kurau di sini pada Khamis.
Mohd Hairil berkata, jumlah bubu naga yang dilupuskan kali ini meningkat berbanding tahun sebelumnya yang merekodkan 1,500 unit, menunjukkan kegiatan haram tersebut masih aktif dan perlu ditangani dengan serius.
Katanya, daripada risikan dan operasi yang dilakukan, kawasan yang sering menjadi tumpuan aktiviti bubu naga di perairan tersebut adalah sekitar Kuala Kurau dan Kuala Gula, manakala sebahagian lagi melibatkan Kalumpang serta Bagan Panchor.
“Taburan kes hampir sekata, namun tangkapan tertinggi direkodkan di dua kawasan berkenaan yang mana bubu naga ini dipasang berhampiran pantai sehingga jarak lapan batu nautika.
“Bubu naga ini digunakan secara haram kerana ia menawarkan pulangan hasil yang lumayan berbanding kaedah yang sah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan bahawa nelayan lazimnya memasang bubu naga pada waktu malam hingga awal pagi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, selain menggunakan kaedah penandaan lokasi seperti bendera dan sistem kedudukan global (GPS).
“Satu jalur penandaan biasanya melibatkan 30 hingga 50 unit bubu naga dan taktik mereka semakin licik dengan penggunaan penanda elektronik.
“Namun, kita sentiasa berwaspada dan operasi penguatkuasaan dijalankan secara berterusan, meskipun berdepan cabaran seperti penarikan bubu secara manual yang memerlukan kekuatan fizikal tinggi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

