Maritim Malaysia perketat pemantauan perairan Dumai-Kuala Sepang

Kira-kira 60 peratus aset dan anggota Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan berada dalam keadaan siap siaga.
Kira-kira 60 peratus aset dan anggota Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan berada dalam keadaan siap siaga.
A
A
A

MELAKA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan mengenal pasti titik panas yang berisiko menjadi lokasi jenayah maritim dari kawasan perairan Dumai, Indonesia menghubungkan Kuala Sepang

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, walaupun tiada kes jenayah maritim direkodkan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, pihaknya tetap bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

"Kita tidak boleh leka, terutama menjelang musim perayaan Aidilfitri ini. Sekurang-kurangnya 60 peratus aset dan anggota Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan berada dalam keadaan bersedia sepanjang masa," katanya.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 394 pemeriksaan telah dijalankan di perairan Melaka dan Negeri Sembilan.

"Dua kapal tanker ditahan kerana berlabuh tanpa kebenaran dan melakukan aktiviti kapal ke kapal (STS) secara tidak sah di bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

"Operasi pemantauan dilakukan setiap hari dengan kehadiran sekurang-kurangnya 20 anggota dalam tempoh 24 jam, tujuh hari seminggu," jelasnya.

Penguat kuasa Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan ketika melakukan pemantauan Op Khas Pagar Laut di sempadan perairan Indonesia dan Malaysia di sini, pada petang Isnin.
Penguat kuasa Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan ketika melakukan pemantauan Op Khas Pagar Laut di sempadan perairan Indonesia dan Malaysia di sini, pada petang Isnin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Op Khas Pagar Laut di sempadan perairan Indonesia dan Malaysia di sini, pada petang Isnin.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Norrimi berkata, titik panas di perairan ini berisiko tinggi kerana bukan sahaja menjadi laluan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) tetapi juga barangan kawalan seperti minyak masak dan beras, yang boleh menjejaskan ekonomi negara.

Beliau berkata, menerusi kawalan ketat di pintu masuk utama negara, sindiket penyeludupan dijangka menggunakan laluan laut untuk mengelak dikesan, terutama di kawasan yang menghubungkan perairan Dumai, Indonesia, ke perairan Sepang, Selangor.

"Justeru, pasukan kita akan terus mempergiat rondaan dan operasi sekatan di perairan Melaka bagi mengekang aktiviti ini," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan atau jenayah maritim digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara terus terpelihara.

"Kita mengingatkan komuniti maritim supaya segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan bagi membantu usaha penguatkuasaan," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!