SIS cabar fatwa: Masjid dan surau Selangor diseru solat hajat hari ini

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar semua masjid dan surau kebenaran solat Jumaat di negeri ini mengadakan solat hajat khas berhubung kes rayuan melibatkan Sister in Islam (SIS) Forum (Malaysia) yang mencabar keabsahan fatwa yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, masjid dan surau berkenaan dikehendaki menunaikan solat hajat selepas selesai melaksanakan solat Jumaat pada 6 dan 13 Jun 2025.
“Ia berikutan prosiding kes rayuan yang difailkan oleh SIS Forum dan seorang lagi individu terhadap Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), dan kerajaan negeri yang akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 19 Jun ini.
“Ini sebagai usaha memohon agar Allah SWT terus memelihara kesucian agama Islam di Selangor serta memberi kebaikan dan pertolongan-Nya kepada Mahkamah Persekutuan dalam membuat keputusan mengenai rayuan berkenaan,” katanya pada Jumaat.
Untuk rekod, SIS Forum (Malaysia) sebelum ini telah mencabar keabsahan fatwa yang diwartakan oleh pihak berkuasa agama negeri pada 17 Julai 2014, yang mengisytiharkan organisasi itu, mana-mana individu serta kumpulan yang mengamalkan fahaman liberalisme dan pluralisme sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.
Cabaran itu bermula di Mahkamah Tinggi pada tahun 2020 dan kemudiannya dirayu ke Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 14 Mac 2023, yang secara majoriti menolak rayuan tersebut.
Bagaimanapun, SIS Forum meneruskan cabaran mereka dengan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan yang kini menanti keputusan muktamad pada pertengahan bulan ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
