ADUN Duyong mohon maaf isu parkir masjid, tawar bayaran balik

Tangkap layar berhubung dakwaan masjid mengenakan bayaran parkir solat
Tangkap layar berhubung dakwaan masjid mengenakan bayaran parkir solat
A
A
A

MELAKA – "Saya dengan rendah diri memohon maaf atas kejadian ini. Saya mengambil tanggungjawab penuh terhadap apa yang berlaku."

Demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berhubung tangkap layar tular yang mempertikaikan bayaran tapak parkir sebanyak RM3 di Masjid Fat’hur Rahman, Pengkalan Rama.

Tambah beliau, DUN Duyong merupakan satu-satunya dalam Malaysia yang semua masjid ditanggung pengurusan jenazah anak kariah

Mohd Noor Helmy menjelaskan bahawa setiap individu yang ingin menunaikan solat akan diberikan parkir secara percuma selama kira-kira 15 minit.

Menurutnya, kekeliruan yang timbul berpunca daripada kegagalan petugas menjaga tapak parkir memberi penerangan yang betul dan petugas diminta agar lebih peka terhadap tujuan individu yang memasuki kawasan letak kereta.

Katanya lagi, sejak pelaksanaan sistem parkir itu bermula pada 1 Mei lalu, ini merupakan aduan pertama yang diterima. Individu yang membuat hantaran tersebut juga dialu-alukan untuk menghubunginya bagi menuntut semula bayaran yang dibuat.

"Setiap kereta yang masuk ke tapak akan ditanya tujuan parkir. Jika untuk solat, akan diberikan parkir percuma. Jika untuk tujuan lain, bayaran dikenakan mengikut kadar yang dinyatakan.

"Sesiapa sahaja yang telah membayar parkir walaupun tujuannya untuk bersolat di masjid ini boleh hubungi saya untuk mendapatkan bayaran semula," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan masjid adalah dalam pengetahuannya sebagai wakil rakyat kawasan dan kutipan parkir digunakan untuk pembangunan ummah antaranya termasuklah pengurusan pengebumian percuma untuk anak kariah.

Tambahnya, tanah yang dijadikan tapak parkir berbayar itu juga merupakan tanah yang dibeli oleh pihak pengurusan masjid melalui bantuan kerajaan negeri Melaka.

"Pihak pengurusan masjid mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku dan akan melakukan penambahbaikan dalam aspek operasi.

"Aspirasi saya ialah supaya semua masjid dalam DUN Duyong dapat menjana ekonominya sendiri tanpa bergantung semata-mata kepada derma," ujarnya.

Beliau turut berharap agar diberikan kekuatan, kebijaksanaan dan keupayaan dalam pelaksanaan untuk menjadikan masjid-masjid di DUN Duyong bukan sahaja sebagai tempat solat, malah sebagai institusi dakwah yang berkesan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!