Sanusi mohon maaf kepada Amirudin, saman RM10 juta selesai

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, memohon maaf kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu berhubung kes saman fitnah RM10 juta berkaitan kenyataan mengenai Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).
Susulan itu, kes saman Amirudin terhadap Sanusi, 51, selesai secara baik ketika prosiding dijalankan di hadapan Hakim, Rozi Bainon.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri selaku defendan membuat permohonan maaf secara terbuka, di dalam kamar mahkamah sebagai salah satu terma penyelesaian kes saman tersebut.
Hakim kemudian merekodkan persetujuan antara kedua-dua pihak dan menerima surat permohonan maaf oleh Sanusi kepada Amirudin, 45, sebagai plaintif.
"Kes selesai dan ditutup sepenuhnya," kata hakim namun, mahkamah tidak membenarkan permohonan maaf Sanusi disiarkan kepada umum dan hanya direkodkan di mahkamah.
Semasa prosiding, peguam, Mohd Haijan Omar yang mewakili plaintif berkata, mahkamah sebelum ini menetapkan Rabu sebagai hari pertama perbicaraan.
"Sukacitanya dimaklumkan, kedua-dua pihak telah mencapai kata putus dan bersetuju untuk memasukkan satu penghakiman persetujuan kepada mahkamah.
"Ia berdasarkan terma iaitu defendan membuat permohonan maaf secara umum kepada plaintif dengan membaca penyataan maaf di mahkamah terbuka pada tarikh penghakiman persetujuan direkodkan," katanya.
Beliau berkata, defendan juga memberi akujanji untuk tidak menerbitkan, membantu, mengulangi, atau menyebabkan kata-kata seumpamanya diterbitkan pada masa hadapan.
Katanya, persetujuan dan terma-terma ini merupakan penyelesaian penuh dan muktamad antara plaintif dan defendan.
Selain itu, beliau berkata, tiada kos dalam penghakiman persetujuan ini.
Sementara itu, peguam, Wan Rohimi Wan Daud dan Yusfarizal Yusof yang mewakili Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu tidak membantah perkara tersebut.
Pada 4 Ogos 2023, Amirudin memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Sanusi berkaitan satu kenyataan fitnah.
Ia susulan ucapan pemimpin Pas itu pada 2 Ogos 2023 dalam Jelajah Mega PN Best ‘Sayangi Kedah Sejahtera’, yang mengaitkan Amirudin dengan seorang taikun perniagaan, Tan Sri Vincent Tan, dalam dakwaan skandal berkaitan projek bernilai RM10 bilion di Sungai Klang.
Amirudin turut menjelaskan bahawa pihaknya telah memperincikan secara panjang lebar projek pembersihan sungai itu dalam sidang Dewan Negeri Selangor pada 2022 dan awal 2023 serta pada sidang Parlimen pada 1 Mac 2023.
Berikutan itu, pada 9 Ogos 2023, pasukan peguam Amirudin menyampaikan surat tuntutan kepada Sanusi, menuntut permohonan maaf dalam tempoh 48 jam serta pembayaran ganti rugi sebanyak RM10 juta.
Dalam writ saman itu, Amirudin menuntut defendan membayar ganti rugi am, teruk dan teladan yang tidak dinyatakan, serta perintah injunksi bagi menghalang Sanusi daripada mengulangi dakwaan tersebut.
Menurutnya, kenyataan fitnah itu dibuat oleh defendan dengan tujuan merendahkan reputasi plaintif di mata masyarakat atau mendedahkannya kepada kebencian, penghinaan, dan cemuhan, serta dicetuskan oleh niat jahat.
Sementara itu, Amirudin berkata, semua pihak perlu berhati-hati dan mengelakkan kekeliruan dalam masyarakat.
"Semoga ia menjadi pengajaran kepada semua," katanya.
Sanusi pula berkata, insiden ini seharusnya menjadi tauladan kepada semua pihak.
"Ini menjadi peringatan kepada semua, bukan saya sahaja, mana-mana pihak yang bercakap tanpa asas, kita samanlah malah saya juga ada saman orang lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

