Warna-warni politik di Melaka mula menyerlah

Bendera parti politik mula kelihatan sekitar jalan raya di Tanjung Bidara pada Sabtu sempena PRN Melaka ke-16. Foto Bernama
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Bendera parti politik mula kelihatan sekitar jalan raya di Tanjung Bidara pada Sabtu sempena PRN Melaka ke-16. Foto Bernama --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

HARI penamaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 pada Sabtu bukan sekadar menyaksikan calon mengemukakan borang pencalonan.

Ia juga menjadi pentas awal memperlihatkan warna-warni demokrasi menerusi gelagat calon, penyokong dan jentera parti yang hadir memberikan sokongan.

Seawal jam 7 pagi, suasana di 28 pusat penamaan calon seluruh negeri mula diwarnai kehadiran penyokong yang tiba dengan pelbagai lambang, bendera dan identiti parti masing-masing.

Ada yang datang secara berkumpulan, ada yang mengiringi calon dengan penuh semangat, manakala laungan slogan politik turut menyemarakkan suasana.

Fenomena itu memperlihatkan bagaimana hari penamaan calon menjadi medan mengukur kekuatan awal jentera parti, selain peluang memperkenalkan calon kepada masyarakat setempat.

Namun, kemeriahan tersebut tidak semestinya menggambarkan kekuatan sebenar sokongan pengundi kerana penentuan mandat hanya akan dibuat pada hari pengundian.

PRN kali ini menyaksikan 79 calon disahkan bertanding bagi merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan 24 calon, diikuti Barisan Nasional (BN) dengan 23 calon; Parti Bersama Malaysia (16), tujuh daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), lima mewakili Perikatan Nasional (PN); Parti Bumiputera Perkasa (satu) dan Bebas (tiga).

Menariknya, persaingan di 28 kerusi itu turut memperlihatkan kepelbagaian landskap politik apabila 11 kerusi menyaksikan pertembungan dua penjuru, 11 lagi tiga penjuru, manakala enam kerusi untuk empat penjuru.

Artikel Berkaitan:

Di sebalik warna-warni bendera dan sorakan penyokong, perkara lebih penting adalah sejauh mana parti mampu menterjemahkan kemeriahan hari penamaan calon kepada keyakinan pengundi.

Ini kerana pilihan raya bukan pertandingan siapa paling ramai penyokong turun di jalanan semata-mata.

Sebaliknya, siapa paling berjaya meyakinkan rakyat menerusi manifesto, prestasi, rekod perkhidmatan dan penyelesaian terhadap isu setempat.

Selepas tirai penamaan calon dilabuhkan, tumpuan kini beralih kepada gelanggang sebenar iaitu kempen selama 14 hari sebelum rakyat Melaka menentukan pilihannya pada 14 November ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!