Kes dua lelaki mati ditembak: 18 individu dirakam keterangan

KUALA LUMPUR – Seramai 18 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes tembakan yang mengorbankan dua lelaki di hadapan lobi sebuah kompleks beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras, di sini, pada Selasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintenden Ridzuan Khalid berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti suspek yang terlibat dalam insiden berkenaan.
“Setakat ini, kita telah merakam keterangan 18 individu. Siasatan masih berjalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada Selasa, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 12.48 tengah malam.
Dalam kejadian tersebut, sekumpulan lelaki yang memakai topeng ski hitam dilaporkan menaiki kenderaan jenis Perodua Alza.
Dua lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 40-an terkena tembakan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
