Isu mental remaja: Satu tragedi seribu pengajaran

TRAGEDI menyayat hati di Melaka membabitkan seorang pelajar lelaki yang didakwa membunuh ibu dan abang kandungnya sekali lagi membangkitkan persoalan besar tentang tekanan mental yang dialami oleh golongan pelajar.
Kes tersebut bukan sekadar satu kes jenayah, tetapi membuka ruang perbincangan lebih luas mengenai tahap kesihatan mental dalam kalangan pelajar dan kelemahan sistem sokongan sedia ada yang mungkin gagal mengesan tanda awal kemurungan, trauma atau gangguan emosi.
Peguam kepada suspek dilaporkan menyatakan bahawa anak guamnya dipercayai mengalami masalah kesihatan mental dan pemeriksaan akan dijalankan sekiranya perlu. Ini sekali gus membuktikan bahawa isu kesihatan mental tidak boleh dipandang ringan.
Pelajar hari ini berdepan tekanan dari pelbagai sudut – tuntutan akademik, konflik keluarga, tekanan kewangan, serta cabaran sosial yang sering dilalui dalam keadaan bersendirian, tanpa bimbingan atau tempat bergantung.
Persoalannya, sejauh manakah sistem pendidikan dan masyarakat benar-benar bersedia untuk memberikan sokongan awal sebelum masalah kesihatan mental ini berkembang menjadi krisis?
Ramai pelajar yang mengalami kemurungan atau gangguan emosi memilih untuk tidak mendapatkan rawatan kerana bimbang akan stigma dan dilabel secara negatif.
Selain itu, latar belakang keluarga juga perlu diselidiki – adakah wujud konflik berpanjangan, sejarah penderaan, atau tekanan emosi yang berakar dari rumah? Semua faktor ini perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa.
Dari sudut undang-undang, Malaysia menyediakan pertimbangan terhadap kesihatan mental suspek melalui Seksyen 84 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan pembebasan sekiranya terbukti seseorang individu tidak waras semasa kejadian berlaku.
Namun, beban pembuktian terhadap ketidaksiumanan adalah tinggi. Ia memerlukan laporan psikiatri forensik yang terperinci dan bukti kukuh, bukan sekadar dakwaan atau simptom ketidakstabilan yang bersifat sementara.
Lebih penting, tragedi ini harus menjadi peringatan besar kepada semua pihak – sekolah, ibu bapa, Kementerian Kesihatan, dan seluruh masyarakat – tentang keperluan pencegahan awal dan akses mudah kepada saluran sokongan, khususnya untuk golongan muda.
Sistem kesihatan mental negara perlu diperkukuhkan dengan penambahan pakar kaunseling, pelaksanaan program pencegahan dari peringkat akar umbi, serta kempen kesedaran yang menggalakkan masyarakat untuk mendapatkan bantuan tanpa rasa malu atau takut.
Tragedi yang membabitkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini bukan hanya isu pembunuhan keluarga – ia adalah peringatan jelas bahawa kesihatan mental harus dilihat sebagai isu nasional yang memerlukan perhatian dan tindakan segera sebelum lebih banyak nyawa muda terkorban dalam senyap.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!