Air Sungai Kapar Kechil kebiruan akibat pembuangan bahan tercemar

Air di Sungai Kapar Kechil, Kampung Perepat, Kapar bertukar warna biru pada Rabu.
Air di Sungai Kapar Kechil, Kampung Perepat, Kapar bertukar warna biru pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM – Air di Sungai Kapar Kechil, Kampung Perepat, Kapar yang bertukar kebiruan dipercayai berpunca daripada aktiviti pembuangan secara ‘one-off’ menggunakan lori.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, susulan laporan awam, pasukan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah menjalankan semakan di lokasi pada petang Rabu.

"Pasukan LUAS telah melakukan pensampelan air di lokasi aduan, hulu dan hilir sungai melibatkan pemeriksaan menyeluruh dari jam 2.30 hingga 4.30 petang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, pemerhatian mendapati warna air berubah menjadi sedikit kebiruan namun semakan di bahagian hulu tidak menemui sebarang punca pencemaran.

"Berdasarkan maklumat pengadu dan siasatan di lokasi, kejadian disyaki berpunca daripada aktiviti pembuangan bahan tercemar secara tidak berjadual oleh pihak tidak bertanggungjawab," ujarnya.

Jamaliah memberitahu, sampel tersebut telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis lanjut.

"Pemantauan susulan juga akan terus dijalankan dari semasa ke semasa di lokasi aduan bagi memastikan tiada kejadian berulang," katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Beliau turut meminta orang ramai agar lebih peka dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan atau insiden pencemaran sumber air kepada pihak berkuasa bagi memastikan sumber air negeri kekal bersih, selamat dan lestari.

Artikel Berkaitan:

"Kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan sungai dan sumber air di Selangor kekal bersih, selamat dan lestari untuk kesejahteraan bersama," tambahnya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Noor Najhan Mohamad Salleh memaklumkan pihaknya menerima aduan daripada penduduk Kampung Perepat mengenai air tercemar di sepanjang sungai tersebut.

Beliau kemudian segera melaporkan kepada agensi bertanggungjawab dan berharap tindakan tegas dapat diambil terhadap pelaku.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!