Lucut hak kenderaan dijadikan 'ulat'

SEPANG - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengenakan tindakan tegas termasuk melucut hak mana-mana kenderaan yang digunakan sebagai 'ulat' untuk mengambil penumpang secara tidak sah.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, tindakan tegas itu dilakukan selepas JPJ Negeri Selangor buat pertama kalinya selepas berjaya melucut hak kenderaan yang dijadikan ulat kepada kerajaan Malaysia atau Ketua Pengarah JPJ Malaysia pada 11 Jun lalu.
Beliau berkata, kejayaan itu berjaya dilaksanakan di bawah Seksyen 227 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
"Orang kena saman (OKS) dalam kes ini juga telah dituduh di bawah Seksyen 205 dan dijatuhkan hukuman di bawah akta sama dengan denda sebanyak RM5,000.
"Sudah tiba masa untuk tindakan drastik dan tegas dikenakan kepada kumpulan ulat yang beroperasi secara tidak sah, seterusnya memutuskan rangkaian aktiviti salah ini," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.
Beliau berkata demikian selepas Ops Khas Ulat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Hadir sama meninjau operasi khas itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Jana Santhiran dan Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan.
Mengulas lanjut, Muhammad Kifli berkata, mana-mana individu tempatan yang ditangkap secara berulang sebanyak tiga kali menjadi ulat, kenderaan yang digunakan akan disyorkan untuk dilucut hak.
"Bagi pesalah warga asing yang melakukan perkara sama, kesalahan pertama sudah layak untuk dikenakan tindakan dilucut hak kenderaan.
"Kenderaan pengangkutan awam termasuk teksi yang melakukan kegiatan ulat akan turut dikenakan tindakan sama," katanya.
Menurut beliau, sekiranya JPJ sebelum ini hanya tangkap, dakwa dan lepas pesalah, namun kini tindakan tegas serta drastik perlu dilaksanakan bagi membanteras kegiatan ulat secara berleluasa.
"Jika saman mereka boleh bayar hasil daripada pendapatan lumayan kegiatan ulat, kini kita ubah kepada melucut hak kenderaan.
"Kita berharap dengan tindakan mengsyorkan tindakan lucut hak akan dapat mengurangkan kegiatan ulat di negara ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!