Ibu mengandung, kanak-kanak diseludup masuk Sabah melalui 'jalan tikus' - Imigresen

KOTA KINABALU - Ibu sarat mengandung dan kanak-kanak antara pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diseludup masuk ke negara ini melalui pengangkutan laut menjadi kebimbangan utama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah.
Pengarahnya, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff mendedahkan, maklumat itu adalah hasil risikan yang dibuat pegawainya di lapangan berkaitan kemasukan PATI melibatkan kanak-kanak dan ibu hamil.
"Saya nampak daripada hasil siasatan awal di lapangan melibatkan kanak-kanak, di mana isu ini sensitif kerana melibatkan penahanan yang perlu fokus kepada kebajikan mereka sebagai kelompok kanak-kanak.
"Bagaimanapun kita dapati hasil daripada siasatan lapangan, kanak-kanak ini sebenarnya dibawa masuk melalui 'jalan tikus' di mana pengakuan telah dibuat oleh ibu kepada kanak-kanak dan kanak-kanak itu sendiri bahawa mereka masuk ke Sabah dengan menggunakan bot melalui Zamboanga (Filipina) dan ada hentian antara pulau ke pulau," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa PATI tersebut sanggup mengambil risiko untuk datang bersama keluarga termasuk kanak-kanak dan ibu mengandung demi mencari pekerjaan di Sabah.
"Mereka ini masuk bersama keluarga iaitu ibu bapa dengan tujuan untuk mencari pekerjaan di Sabah dan mereka mengambil risiko dengan melalui bot dan jalan tikus.
"Kita mendapati umur mereka antara satu hingga 10 tahun dan memang ada pengakuan dari kanak-kanak itu sendiri bahawa mereka menaiki bot bersama ibu bapa mereka untuk ke Sabah.
"Ada juga ibu yang mengandung sejak di Filipina, boleh sampai ke Sabah. Kita khuatir anak yang dilahirkan di Sabah dan kita nampak isu keselamatan di sini," katanya.
Susulan pendedahan itu, beliau berkata perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana kanak-kanak tersebut tetap berstatus sebagai PATI.
"Saya nampak perkara ini tidak boleh dipandang remeh. Walaupun kanak-kanak, mereka masih berstatus PATI.
"Saya harapkan orang ramai yang melihat kemasukan bot melalui jalan tikus dapat melaporkan segera kepada agensi penguat kuasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
