Ahli perniagaan didakwa ambil pekerja asing tanpa pas

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret di George Town pada Rabu.
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret di George Town pada Rabu.
A
A
A

GEORGE TOWN – Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan mengambil pekerja asing tanpa memiliki pas yang sah serta membenarkan mereka tinggal di sebuah premis perniagaan, pada Mei lalu.

Tertuduh, Tan Kah Harn, 38, yang menjalankan perniagaan berasaskan peladangan dan pertanian, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya pada Khamis.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah mengambil enam pekerja warga Myanmar berusia antara 22 hingga 43 tahun yang tidak memiliki pas sah.

Sehubungan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 55B(3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun serta tidak melebihi enam sebatan.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, Tan didakwa membenarkan seorang warga asing Myanmar yang tidak memiliki pas sah untuk masuk atau tinggal di sebuah premis perniagaan.

Bagi kesalahan tersebut, dia didakwa di bawah Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/1963 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 55E(2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM30,000, atau penjara tidak melebihi 12 bulan, atau kedua-duanya sekali bagi setiap imigran haram.

Kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah premis di West Jelutong, di sini, pada jam 1.30 tengah hari, 29 Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad, manakala tertuduh diwakili peguam K. Mahendran.

Ahmad Danial menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 untuk pertuduhan pertama dan RM5,000 bagi pertuduhan kedua.

Dalam rayuannya, Mahendran memohon agar jumlah jaminan dikurangkan memandangkan anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak.

“Selain menanggung dua anak, anak guam saya juga menyara kedua-dua ibu bapanya yang uzur. Dia merupakan pemaustatin Pulau Pinang.

“Tertuduh telah diberi jaminan polis pada 3 Jun lalu dan mematuhi semua syarat yang ditetapkan serta bersedia mematuhi sebarang syarat tambahan.

“Oleh itu, saya memohon agar mahkamah menetapkan jumlah jaminan yang minimum kepada anak guam saya,” katanya.

Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan pertama, manakala RM5,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan kedua.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula dan serahan dokumen pada 15 Julai ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!