Kempen perobohan Zionis makin menggila di Tebing Barat

RAMALLAH - Tentera Israel meneruskan serbuan ganas berskala besar ke atas bandar Jenin di Tebing Barat yang kini memasuki bulan kedua hingga memaksa ribuan terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.
Kempen pencerobohan itu telah berlarutan selama 30 hari pada Rabu yang turut menyasarkan kawasan lain di Tebing Barat termasuk Tulkarem dan kem pelarian Nur Shams.
Sejak 21 Januari lalu, sekurang-kurangnya 26 penduduk Palestin menjadi korban kezaliman rejim Zionis di bawah operasi ketenteraan tersebut.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) turut mengerahkan ratusan askar bersama unit jengkaut yang melakukan perobohan kediaman dan infrastruktur penting di kem pelarian sesak yang menempatkan komuniti Palestin.

“Kami tidak tahu apa yang sedang berlaku, namun Zionis terus merobohkan struktur dan mengorek jalan,” kata Ketua Jawatankuasa Perkhidmatan Kem Jenin, Mohammed al-Sabbagh.
Pada Selasa, Datuk Bandar Jenin, Mohammed Jarrar mendakwa IDF menggunakan taktik jahat perobohan secara rawak di kem pelarian Palestin dan kawasan sekitarnya kerana mahu menjadikan ia tidak lagi boleh didiami.
Perpindahan secara besar-besaran penduduk Palestin dari pelbagai kawasan di Tebing Barat sejak kebelakangan ini disifatkan sebagai pemindahan paksa terbesar dalam tempoh beberapa dekad.

Kem tersebut didiami keturunan penduduk Palestin yang diusir ketika Hari Nakba (malapetaka) pada 1948 iaitu sewaktu penubuhan negara haram Israel.
Zionis mendakwa kononnya ia menjadi markas gerakan penentangan anti-Israel.
Data dikeluarkan Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang mentadbir Tebing Barat mendapati kira-kira 17,000 penduduk telah dipaksa berpindah dari kem pelarian Jenin.
Di Nur Shams pula, seramai 6,000 atau kira-kira dua pertiga daripada populasi di penempatan itu juga berdepan pemindahan secara paksa manakala 10,000 penduduk Palestin yang lain meninggalkan kem Tulkarem.

“Sebahagian lagi penduduk masih terperangkap. Pasukan penyelamat dan agensi bantuan menghantar bekalan makanan buat mereka, tetapi Zionis meneruskan operasi perobohan kem tersebut,” kata Ketua Jawatankuasa Perkhidmatan Kem Nur Shams, Nihad al-Shawish.
Kempen pemusnahan
Bukan hanya merobohkan kediaman penduduk Palestin, IDF turut membinasakan jalan raya utama dan memotong bekalan air dan kuasa elektrik di bandar berkenaan.
Agensi kemanusiaan menyatakan mereka tidak pernah menyaksikan skala pemindahan secara paksa seperti itu di Tebing Barat sejak tercetusnya Perang Enam Hari pada 1967 apabila Israel menawan wilayah barat Sungai Jordan bersama Baitulmaqdis Timur dan Genting Gaza.
“Ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Kem pelarian Palestin sedang dimusnahkan supaya ia tidak lagi boleh didiami pada masa akan datang,” kata Pengarah Hal Ehwal Tebing Barat untuk Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Roland Friedrich.

Zionis turut menahan sewenang-wenangnya penduduk Palestin di seluruh Tebing Barat.
Terbaharu, empat individu termasuk dua kanak-kanak diberkas di Jenin manakala seorang warga emas ditembak pada dada berhampiran pintu masuk kem pelarian di bandar tersebut.
Agensi berita Wafa melaporkan Zionis telah menutup pintu masuk kem berkenaan selain menempatkan unit askar di laluan masuk utama dan menembak sesiapa sahaja yang cuba menghampiri kawasan itu.
Di kawasan lain di Tebing Barat, IDF dilaporkan melancarkan kempen serbuan dan merobohkan sebuah rumah di Hebron manakala jengkaut milik Zionis memusnahkan ladang pertanian. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

