Fatwa perlu digubal bagi perjelas isu Al-Laqit

Cadangan itu antara salah satu daripada empat resolusi penting yang dibangkitkan dalam Muzakarah Isu-Isu Hak Asasi Manusia dalam Perspektif Maqasid Syariah anjuran Suhakam.
Cadangan itu antara salah satu daripada empat resolusi penting yang dibangkitkan dalam Muzakarah Isu-Isu Hak Asasi Manusia dalam Perspektif Maqasid Syariah anjuran Suhakam.
A
A
A

PUTRAJAYA - Penggubalan fatwa khusus berkaitan isu bayi dan kanak-kanak terdampar (al-laqit) perlu dilaksanakan bagi memberikan penjelasan yang lebih terperinci berhubung situasi tersebut dalam masyarakat.

Cadangan itu antara salah satu daripada empat resolusi penting yang dibangkitkan dalam Muzakarah Isu-Isu Hak Asasi Manusia dalam Perspektif Maqasid Syariah anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini pada Selasa.

Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim yang membacakan resolusi itu turut menegaskan bahawa isu al-laqit memerlukan perhatian serius daripada pihak pemerintah bagi memastikan aspek penjagaan, kebajikan, perlindungan dan keselamatan golongan itu sentiasa terjamin sehingga mereka mencapai usia dewasa dan mampu berdikari.

"Fenomena bayi dan kanak-kanak terdampar sentiasa berlaku di pelbagai tempat dalam negara ini.

"Tanggungjawab menjaga nyawa, akal dan maruah manusia terletak di bahu pemerintah," katanya.

Ujar beliau, penggubalan fatwa berkaitan al-laqit perlu dirangka secara komprehensif agar isu tersebut dapat difahami dengan lebih jelas oleh masyarakat dan tidak lagi menjadi polemik.

Kanak-kanak terdampar atau al-laqit merujuk kepada bayi atau kanak-kanak yang dijumpai terbiar atau ditinggalkan tanpa diketahui asal usulnya, termasuk siapa ibu bapa atau penjaganya.

Biasanya mereka ditemui di tempat awam seperti tepi jalan, masjid, hospital, atau kawasan terpencil, tanpa sebarang identiti dan tanpa penjaga yang sah.

Dalam konteks syariah, al-laqit dianggap sebagai individu yang wajib dipelihara dan dilindungi oleh masyarakat dan pemerintah atas dasar menjaga nyawa (hifz al-nafs), maruah (hifz al-'ird) dan hak asasi manusia.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, muzakarah turut menyokong usaha menetapkan umur minimum perkahwinan pada 18 tahun ke atas, selari dengan Akta Kanak-Kanak 2001 dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak 1989 (CRC).

Bagaimanapun, satu mekanisme menyeluruh perlu diwujudkan bagi menyantuni kes-kes khas melibatkan perkahwinan bawah umur bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar.

Antara resolusi lain yang turut dicapai termasuk cadangan agar kerajaan melaksanakan kajian mendalam berkaitan keberkesanan hukuman alternatif yang berpaksikan pendekatan pemulihan (restorative justice).

“Usaha ke arah hukuman yang lebih berperikemanusiaan perlu diperkukuh tanpa menjejaskan keadilan kepada mangsa, sejajar dengan prinsip Maqasid Syariah dan nilai rahmah,” katanya.

Dalam isu berkaitan pelarian, muzakarah menegaskan keperluan mempercepatkan penstrukturan semula undang-undang bagi memastikan akses yang lebih baik kepada perlindungan, keselamatan, pendidikan, kesihatan, kebajikan dan hak berkeluarga untuk golongan tersebut.

Muzakarah tersebut turut menyeru agar semua pihak memupuk budaya hormat terhadap hak asasi manusia berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Maqasid Syariah.

Ia menzahirkan komitmen bersama untuk melindungi maruah dan integriti setiap insan serta menggesa agar dialog inklusif dan reformasi dasar dilaksanakan segera bagi memastikan sistem perundangan Malaysia kekal selaras dengan prinsip hak asasi manusia sejagat.

Sebagai langkah susulan, satu jawatankuasa teknikal akan dibentuk oleh Suhakam melibatkan pelbagai agensi dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) Islam, yang akan dipengerusikan oleh seorang Pesuruhjaya bagi menyelaras perbincangan lebih lanjut mengenai resolusi yang dibangkitkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!