Rempuh penghadang, pemandu maut tercampak keluar kereta

Keadaan kereta mangsa selepas kemalangan di Kilometer 255 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), di Seremban pada Selasa.
Keadaan kereta mangsa selepas kemalangan di Kilometer 255 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), di Seremban pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki berusia 37 tahun maut selepas tercampak keluar dari kereta yang dipandunya dalam kemalangan di Kilometer 255 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 12.20 tengah malam, melibatkan sebuah kenderaan jenis Honda CR-V yang dinaiki mangsa bersama seorang rakan dalam perjalanan dari Melaka menuju ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri lebuh raya dan melanggar tebing konkrit.

“Kenderaan tersebut kemudian berpusing semula ke laluan utama sebelum merempuh penghadang besi di tengah lebuh raya.

“Kemalangan itu menyebabkan mangsa tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, seorang penumpang lelaki berusia 48 tahun tersepit di pintu bonet belakang.

“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kini sedang menerima rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

“Sementara itu, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Shahrizan Khairi di talian 019-8461792 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!