Honda Civic terbalik di selekoh, pemandu maut

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya terbabas dan terbalik di Jalan Sutera Danga di sini, awal pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kemalangan tersebut dipercayai berlaku pada jam 7.20 pagi
"Siasatan mendapati, kereta Honda Civic yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun itu hilang kawalan semasa melalui satu selekoh di tempat kejadian.
"Keadaan ini menyebabkan kereta berkenaan terbabas lalu terbalik.
"Akibat kemalangan tersebut, pemandu berkenaan mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, iaitu kesalahan memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Pihak polis turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan tersebut supaya tampil memberikan maklumat dan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Zulhisyam Aziz di talian 019-7432966 bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
