Pemandu lori maut dirempuh kereta buat pusingan U

ALOR GAJAH – Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta yang membuat pusingan U di Lebuh Alor Gajah–Melaka Tengah–Jasin (AMJ) di Sungai Petai di sini pada Isnin.
Kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu menyebabkan mangsa yang menunggang motosikal Honda RS150R, FS Mohd Riza Abu Zarin, 44, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintenden Azrul Mohamed berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori sedang dalam perjalanan dari arah Pekan Rembia menuju ke Bandar Alor Gajah.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun membuat pusingan U.
“Kereta terbabit tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal mangsa.
“Impak kemalangan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.
“Pemandu Axia mengalami kecederaan di muka dan dada dan kini dirawat di hospital sama. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!