Haniff Khatri persoal siapa arah dedah dokumen pengampunan

Mohamed Haniff
Mohamed Haniff
A
A
A

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) merupakan pihak yang sepatutnya bertanggungjawab menyahklasifikasikan dokumen berkaitan pengampunan, sekiranya keputusan itu dipersetujui Jemaah Menteri.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri berkata, perkara itu berdasarkan kedudukan Menteri Wilayah Persekutuan sebagai wakil Kabinet yang menganggotai Lembaga Pengampunan.

Menurutnya, berdasarkan kenyataan beberapa menteri dalam Kabinet, isu berkenaan juga disahkan tidak pernah dibangkitkan atau dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Justeru, katanya, timbul persoalan mengenai pihak yang menentukan klasifikasi dokumen berkenaan serta siapa yang membuat keputusan untuk mendedahkannya kepada umum.

“Kalau kita lihat secara ringkas dari sudut undang-undang, berdasarkan pengetahuan saya mengenai latar belakang proses pengampunan dan sebagainya, pihak yang bertanggungjawab sepatutnya mengambil tindakan selepas perkara itu dibentangkan kepada Kabinet dan mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

“Jika Kabinet bersetuju, pihak yang sepatutnya menyahklasifikasikan dokumen itu ialah menteri yang berkaitan dengan isu pengampunan,” katanya dalam satu podcast pada Khamis.

Beliau berkata, Menteri Wilayah Persekutuan dilihat mempunyai kaitan langsung dalam perkara itu kerana jawatan berkenaan merupakan salah satu keanggotaan dalam Lembaga Pengampunan.

Bagaimanapun, Haniff Khatri berkata, berdasarkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, keputusan Kabinet berhubung perkara itu masih belum dimuktamadkan.

Sehubungan itu, katanya, sekiranya Kabinet bersetuju dengan cadangan berkenaan, Menteri Wilayah Persekutuan berkemungkinan menjadi pihak yang bertanggungjawab melaksanakan proses nyahklasifikasi dan pendedahan dokumen berkaitan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, sebuah dokumen yang dipercayai merupakan minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ke-64 bertarikh 18 September 2026 telah tular dan mendedahkan perbezaan pandangan dalam kalangan ahlinya berhubung status penahanan Najib.

Berdasarkan laporan pemerhatian dokumen tersebut, beberapa ahli lembaga termasuk Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berpandangan Najib perlu meneruskan hukuman penjara dan tidak bersetuju beliau diberikan tahanan rumah.

Mohd Dusuki dilaporkan menyatakan bahawa keputusan membenarkan tahanan rumah itu akan memberi kesan kepada kerajaan, khususnya dari sudut kestabilan politik, ekonomi, pelaburan, dan imej negara di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenankan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Susulan perkenan tersebut, Najib telah mula menjalani baki hukumannya di kediamannya di Kuala Lumpur bermula 10 November lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!