Penunggang motosikal maut rempuh MPV berhenti di lorong kecemasan

Penunggang motosikal maut selepas melanggar belakang sebuah MPV yang berhenti di lorong kecemasan. Foto polis
Penunggang motosikal maut selepas melanggar belakang sebuah MPV yang berhenti di lorong kecemasan. Foto polis
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 245 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini, pada Sabtu.

Dalam kejadian jam 10.58 pagi itu, mangsa berusia 38 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan motosikal jenis Suzuki Smash dan MPV jenis Proton Exora dipandu seorang wanita berusia 51 tahun.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Rembau untuk tindakan lanjut. Foto polis
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Rembau untuk tindakan lanjut. Foto polis

“Pemandu terbabit dalam perjalanan dari Shah Alam menuju ke Melaka sebelum memberhentikan kenderaannya di lorong kecemasan selepas terdengar bunyi dari arah belakang.

“Beliau kemudian turun dari kenderaan dan mendapati tayar belakang sebelah kanan bocor, lalu meletakkan kon segi tiga amaran di belakang kenderaan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Bagaimanapun katanya, kira-kira 15 minit kemudian, sebuah motosikal datang dari arah belakang dan melanggar bahagian belakang kenderaan terbabit.

Menurut beliau, akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

“Pemandu MPV tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat,” katanya.

Mohamad Hatta berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 019-4611794 atau tampil ke mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

 






 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!