Isu ambulans Gunung Besout selesai, klinik terima unit ganti

Sivanesan (kanan) meninjau keadaan ambulans yang disediakan bagi kemudahan Klinik Kesihatan Gunung Besout. Gambar kecil: Hairi Nizam
Sivanesan (kanan) meninjau keadaan ambulans yang disediakan bagi kemudahan Klinik Kesihatan Gunung Besout. Gambar kecil: Hairi Nizam
A
A
A

TANJUNG MALIM – Isu ketiadaan perkhidmatan ambulans di Klinik Kesihatan Gunung Besout sejak tiga tahun lalu akhirnya selesai apabila kerajaan negeri menyerahkan sebuah ambulans ganti kepada klinik berkenaan.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan berkata, ambulans yang disediakan itu bukan unit baharu, sebaliknya diambil dari lokasi lain sebagai langkah sementara untuk menampung keperluan penduduk luar bandar di kawasan tersebut.

Menurut beliau, klinik itu sebelum ini memiliki satu unit ambulans, namun sering mengalami kerosakan sebelum rosak sepenuhnya pada tahun 2023 dan disahkan tidak lagi boleh dibaiki oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Isu ini telah saya jawab dalam persidangan Dewan Undangan Negeri yang lalu dan kerajaan negeri telah memenuhi janji untuk membekalkan ambulans menjelang pertengahan tahun ini.

“Pada masa sama, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) telah pun mengemukakan permohonan untuk mendapatkan ambulans baharu, bukan sahaja untuk di sini, tetapi juga bagi beberapa kawasan lain termasuk Klinik Kesihatan Sungkai,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan ambulans di sini pada Isnin.

Kemudahan perkhidmatan ambulans memberi nafas lega kepada hampir 10,000 penduduk yang sebelum ini sering dihantui masalah kelewatan ambulans tiba.
Kemudahan perkhidmatan ambulans memberi nafas lega kepada hampir 10,000 penduduk yang sebelum ini sering dihantui masalah kelewatan ambulans tiba.

Sivanesan turut memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini telah mengeluarkan tender untuk pembelian 500 ambulans baharu, namun tender berkenaan terpaksa dibatalkan selepas syarikat yang memenangi kontrak gagal melaksanakan tanggungjawab.

“Jadi, sementara menunggu ambulans baharu itu diperoleh, kita beri dahulu ambulans dari lokasi lain sebagai langkah segera. Saya juga telah memperuntukkan sebanyak RM25,000 daripada peruntukan saya untuk kerja-kerja pembaikan kecil jika ambulans ini mengalami kerosakan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Sivanesan berkata, Klinik Kesihatan Gunung Besout merupakan antara lima klinik kesihatan di negeri Perak yang dibina dalam kawasan Felda.

Sehubungan itu, beliau menggesa pengurusan Felda agar turut menunjukkan komitmen dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat.

“Saya akan panggil pengurusan Felda untuk berbincang jenis kerjasama yang boleh mereka tawarkan.

“Di tempat lain, perkhidmatan klinik kesihatan disediakan khas untuk rakyat tempatan. Berbeza di sini, lebih 10 peratus daripada pesakit merupakan pekerja asing Felda yang turut menerima manfaat, maka wajar Felda membantu,” katanya.

Menurut Sivanesan lagi, masih banyak klinik kesihatan di Perak yang belum memiliki ambulans sendiri, namun keutamaan diberikan kepada Gunung Besout berikutan lokasinya yang jauh dari hospital utama.

“Klinik Kesihatan Sungkai juga belum ada ambulans, tetapi lokasinya dekat dengan hospital Tapah dan Slim River. Berbeza dengan Besout, ke Tapah sahaja sejauh 47 kilometer, manakala ke Teluk Intan pula antara 60 hingga 70 kilometer,” jelasnya.

Sebagai rekod, Perak memiliki 86 Klinik Kesihatan, 126 Klinik Desa, empat Klinik Bergerak dan 15 hospital kerajaan yang menampung perkhidmatan kesihatan seluruh negeri.

Terdahulu, media melaporkan bahawa penduduk telah menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Ambulans Felda Gunung Besout dengan hasrat menyerahkan petisyen rayuan kepada KKM untuk mendapatkan ambulans baharu.

Jawatankuasa tersebut turut mengumpul tandatangan secara fizikal dan dalam talian, dengan lebih 2,000 tandatangan berjaya dikumpulkan sejak 1 Jun lalu.

Sementara itu, wakil jawatankuasa bertindak, Hairi Nizam Miran, 50, berkata kemudahan tersebut memberi kelegaan kepada hampir 10,000 penduduk yang sebelum ini sering berdepan kelewatan ambulans.

“Tahun ini sahaja sudah ada lima kes kelewatan ambulans yang melebihi satu jam sehingga mengakibatkan kematian.

“Sebab itulah kami tubuhkan jawatankuasa ini, dengan harapan kemudahan ini dapat disediakan segera. Terima kasih kepada kerajaan negeri,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!