Penduduk tuntut RM1.6 juta, dakwa kolam takungan pecah punca banjir

Nur Aminahtul (dua dari kanan) bersama peguamnya dan penduduk semasa sidang media khas di Kuala Selangor pada Ahad malam.
Nur Aminahtul (dua dari kanan) bersama peguamnya dan penduduk semasa sidang media khas di Kuala Selangor pada Ahad malam.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Penduduk Taman Seri Alam, Saujana Utama di sini akan menghantar surat tuntutan kepada pihak pemaju dan kerajaan negeri bagi menuntut ganti rugi berjumlah kira-kira RM1.6 juta berikutan insiden kolam takungan berhampiran kawasan perumahan mereka pecah sejak tahun 2015.

Peguam yang mewakili penduduk, Nur Aminahtul Mardiah Md Nor berkata, surat tuntutan atau Letter of Demand (LOD) tersebut dijangka dihantar dalam masa terdekat.

Menurut beliau, seramai 28 penduduk taman perumahan itu terlibat dalam tindakan undang-undang berkenaan.

“Surat tuntutan akan dihantar terlebih dahulu dan sekiranya tiada maklum balas memuaskan dalam tempoh 14 hari, kami akan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam,” katanya dalam satu sidang media khas di sini, malam Ahad.

Nur Aminahtul menjelaskan bahawa tindakan tersebut diambil kerana penduduk mengalami kerosakan harta benda akibat banjir kilat yang didakwa berpunca daripada kolam takungan yang dibina terlalu hampir dengan kawasan perumahan.

Beliau berkata, jumlah tuntutan RM1.6 juta itu adalah anggaran awal yang melibatkan kerosakan struktur rumah, perabot, dinding, lantai, kenderaan serta kos pembersihan yang terpaksa ditanggung sendiri oleh penduduk setiap kali berlaku banjir.

Katanya, insiden banjir disebabkan kolam takungan pecah telah berlaku sebanyak tiga kali sejak tahun 2015.

Tambah beliau, pihaknya sedang meneliti senarai defendan yang akan dinamakan dalam tuntutan tersebut, termasuk pemaju utama, kerajaan negeri dan beberapa pihak berkaitan, bergantung kepada dokumentasi dan bidang kuasa tindakan.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga akan menuntut agar kolam takungan itu ditutup kerana ia tidak sesuai dibina terlalu hampir dengan kawasan rumah.

“Penduduk menetap di sini lebih awal, kemudian barulah kolam takungan ini dibina. Ia pula terlalu dekat, menyebabkan mereka hidup dalam ketakutan setiap kali hujan turun,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya juga terbuka kepada penyelesaian secara baik sebelum atau selepas kes difailkan, termasuk melalui proses mediasi sekiranya ia dapat mengelakkan perbicaraan panjang yang akan membebankan penduduk dari segi masa dan kos.

“Matlamat utama penduduk ialah untuk mendapatkan keadilan dan jaminan keselamatan, kerana mereka hanya mahu tinggal di rumah sendiri dalam keadaan selesa tanpa rasa bimbang setiap kali langit gelap. Itu hak asas yang sepatutnya dilindungi,” tegasnya.

Sementara itu, seorang penduduk, Ir. Mohd Zikri Md Zaini, 40, mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM170,000 apabila kediamannya rosak teruk akibat kejadian banjir berulang yang dipercayai berpunca daripada kolam takungan pecah.

Mohd Zikri menunjukkan keadaan banjir yang berlaku di kediamannya dipercayai berpunca daripada kolam takungan pecah.
Mohd Zikri menunjukkan keadaan banjir yang berlaku di kediamannya dipercayai berpunca daripada kolam takungan pecah.

Katanya, setiap kali hujan lebat, beliau dan keluarga hidup dalam kebimbangan kerana air sering melimpah masuk ke kawasan rumah.

“Kejadian terbaharu berlaku pada 10 Jun lalu sekitar jam 2.50 pagi apabila air naik secara mendadak. Sebelum itu, banjir turut melanda pada 23 April lalu, sekitar jam 5.30 pagi.

“Kerosoakan semakin serius walaupun rumah saya sudah dibaik pulih tahun lalu selepas mengalami keretakan. Pintu sudah ditukar, lantai mula merekah akibat air meresap, dan banyak dokumen rosak.

“Selain itu, lumpur dari kolam yang pecah turut menyebabkan sistem perparitan tersumbat dan meninggalkan kesan keladak dalam rumah,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Khairul Nizam Jamil, 43, berkata, tindakan undang-undang terhadap pemaju dan kerajaan negeri merupakan usaha terakhir setelah saban tahun berdepan banjir yang menjejaskan ketenangan hidup mereka.

“Kami dah muak dan tak mampu menanggung tekanan perasaan lagi. Tidur malam pun tak lena, hidup dalam trauma,” ujarnya.

Tambahnya, tindakan itu bukan untuk menuding jari, sebaliknya usaha menuntut keadilan dan hak sebagai penduduk yang seharusnya menikmati suasana kehidupan aman dan selesa.

“Harap tindakan ini menjadi pengajaran, bukan sahaja untuk kami tetapi juga pihak yang bertanggungjawab,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!