Rakyat Selangor makin hilang sabar banjir kilat berulang

BANJIR kilat merupakan antara bencana alam yang kerap berlaku di Selangor, khususnya di kawasan kritikal seperti Taman Sri Muda (Shah Alam) Meru (Klang) dan Taman Seri Alam (Kuala Selangor). Masalah ini bukan sahaja mengganggu kehidupan harian penduduk, malah turut mendatangkan kerugian harta benda, risiko kesihatan dan ancaman keselamatan.
Sistem perparitan yang tidak efisien dikenal pasti menjadi salah satu punca utama banjir kilat sering berlaku dengan kekerapan yang membimbangkan.
Manakan tidak, banyak parit dan longkang yang sempit, cetek atau dipenuhi sampah menyebabkan aliran air tersekat dan akhirnya melimpah ke jalan raya serta kawasan perumahan. Malah, penyelenggaraan sistem saliran yang tidak berkala memburukkan lagi keadaan, terutama ketika musim hujan.
Selain itu, pembangunan pesat tanpa kawalan juga dipercayai menyumbang kepada kejadian banjir kilat seperti di Jalan Kebun yang telah menyaksikan banyak projek pembangunan perumahan dan komersial dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Malangnya, banyak projek tersebut tidak dilengkapi dengan pelan mitigasi banjir lengkap. Selain itu, kawasan tadahan air semula jadi seperti paya dan hutan telah digantikan dengan permukaan konkrit yang mengurangkan kebolehan tanah menyerap hujan.
Kedudukan geografi turut menjadi faktor penyumbang seperti di Taman Sri Muda yang terletak di kawasan tanah rendah, menjadikannya lebih mudah ditenggelami air apabila berlaku hujan lebat.
Walaupun terdapat sistem pam dan kolam takungan, keberkesanannya sering dipersoalkan oleh penduduk setempat apabila pam gagal berfungsi atau tidak mencukupi untuk menampung jumlah air yang banyak dalam masa singkat. Ini menunjukkan bahawa infrastruktur kawalan banjir yang ada masih belum mencukupi.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bencana itu sekali lagi melanda di beberapa tempat termasuk Taman Sri Muda dan lebih tragis apabila terdapat kes kematian direkodkan disebabkan terkena renjatan elektrik sewaktu banjir kilat.
Situasi ini menjadi mimpi ngeri buat penduduk, terutama selepas tragedi banjir besar melanda pada 2021 yang menuntut mereka sentiasa bersiap sedia setiap kali hujan lebat tanpa henti sehingga dua jam.
Susulan itu, kumpulan penduduk dari Taman Sri Muda, Bukit Kemuning dan Batu Lapan, Shah Alam mengadakan perhimpunan aman dan menandatangani memorandum bagi mendesak penyelesaian segera oleh kerajaan negeri untuk mengatasi masalah berkenaan.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim memaklumkan bahawa kerajaan Selangor telah memutuskan akan melaksanakan 11 langkah segera mitigasi banjir membabitkan kawasan kritikal.
Antaranya termasuk menyelenggara parit dan longkang tidak bertuan, pemasangan flap gate, melakukan pengalihan utiliti, menaik taraf sistem saliran dalaman ke tahap perlindungan lebih tinggi sekurang-kurangnya 20 ARI (Average Recurrence Interval) di Taman Sri Muda serta penguatkuasaan terhadap pencerobohan tanah rizab tepi sungai.
Bagaimanapun, Izham berkata, pembangunan yang tidak terancang, terutama di kawasan kampung, dikenal pasti sebagai antara isu utama yang menyukarkan lagi usaha untuk menangani masalah berkenaan.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan wujud penempatan tidak tersusun dan memerlukan pelaksanaan langkah segera bagi mengelakkan kejadian banjir berulang.
Justeru, ia menunjukkan bahawa walaupun pelbagai usaha telah dilakukan, penyelesaian yang mampan hanya dapat dicapai melalui kerjasama erat antara pihak kerajaan, pemaju dan penduduk.
Pendekatan yang holistik dan berterusan diperlukan agar bencana ini tidak lagi menjadi ancaman berulang kepada rakyat Selangor. Ini kerana masalah banjir kilat di kawasan tersebut bukan sekadar isu alam sekitar, tetapi juga berkait dengan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
