Malaysia waspada konflik Iran-Israel beri kesan bekalan makanan

BERUAS – Malaysia mengambil pendekatan berwaspada terhadap kemungkinan kesan konflik berterusan antara Iran dan Israel terutama dari segi impak ekonomi dan rantaian bekalan makanan negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, meskipun jumlah import makanan dari Iran tidak begitu tinggi, kerajaan tetap memantau situasi tersebut secara dekat.
Menurutnya, situasi tersebut perlu diberikan perhatian kerana bimbang ia akan merebak ke beberapa negara lain.
“Setakat ini, kita belum bincang secara terperinci kerana perang itu masih belum dapat ditentukan arah tujuannya sama ada akan berakhir atau semakin merebak ke negara-negara lain.
"Namun yang pasti, harga minyak sudah mula meningkat dan ia pasti akan memberi kesan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Projek Ternakan Lembu Fidlot dan Integrasi Pertubuhan Peladang Negeri Perak (PPN) di Ladang Kampung Tengah di sini pada Ahad.
Mohamad berkata, ketika ini, import bekalan makanan Malaysia bergantung kepada India, China, Pakistan, Timur Tengah, dan negara-negara di Asia Tenggara.
Sementara itu, beliau yakin isu berkenaan dijangka dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet yang akan datang.
“Saya yakin, mungkin Perdana Menteri akan memasukkan isu ini dalam agenda mesyuarat.
"Ini kerana ia berkait rapat dengan ekonomi global dan kemungkinan memberi kesan kepada negara kita,” ujarnya.
Jelas Mohamad, walaupun Malaysia ada mengimport beberapa barangan dari Iran seperti kurma, karpet, pistachio, dan sedikit minyak sawit, jumlahnya tidak signifikan disebabkan kekangan sekatan ekonomi terhadap negara berkenaan.
Katanya, sekatan ekonomi terhadap Iran sejak lebih 40 tahun lalu menyukarkan urusan perdagangan secara langsung, malah kebanyakan barang yang diimport dari negara itu terpaksa melalui pihak ketiga.
Sementara itu, mengenai situasi cuaca kering yang melanda negara ketika ini, Mohamad menjelaskan pihaknya bersama agensi berkaitan telah melaksanakan penjadualan semula pengairan khususnya padi bagi menyesuaikan mengikut situasi semasa.
Jelasnya, setakat ini pengeluaran tanaman tidak terjejas di sebalik situasi cuaca ekstrem.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

