Trump beri amaran serangan ketenteraan jika kepentingan AS diserang

Amaran itu dikeluarkan pada Ahad menerusi satu hantaran di platform Truth Social

Donald Trump.- Foto: AFP
Donald Trump.- Foto: AFP
A
A
A

TEL AVIV – Israel dan Iran terus melancarkan serangan balas pada awal pagi 15 Jun, ketika Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberi amaran kepada Teheran supaya tidak menyasarkan mana-mana kepentingan AS, sambil menyatakan konflik itu boleh ditamatkan dengan mudah.

“Jika kami diserang dalam apa jua bentuk oleh Iran, seluruh kekuatan dan ketenteraan Angkatan Tentera Amerika Syarikat akan menghujani anda pada tahap yang belum pernah dilihat sebelum ini,” kata Trump menerusi Truth Social pada Ahad.

Beliau turut menambah bahawa 'perjanjian damai' antara Iran dan Israel masih boleh dicapai bagi menamatkan pertumpahan darah ini, tanpa memberi butiran lanjut.

Iran menyatakan sebanyak 78 orang terbunuh pada hari pertama kempen pengeboman Israel pada 13 Jun, manakala puluhan lagi maut pada hari kedua, termasuk 60 orang apabila sebuah pangsapuri 14 tingkat di Teheran ranap dibedil peluru berpandu. Seramai 29 kanak-kanak turut terkorban dalam insiden itu.

Depot minyak Shahran di Tehran turut menjadi sasaran serangan Israel. Namun pihak berkuasa Iran memaklumkan keadaan berjaya dikawal, walaupun kebakaran tercetus di sebuah kilang penapis minyak berhampiran ibu negara. Serangan turut menyasarkan bangunan Kementerian Pertahanan Iran, namun hanya menyebabkan kerosakan kecil menurut agensi berita Tasnim pada 15 Jun.

Di Israel, gelombang serangan peluru berpandu dari Iran bermula sekitar jam 11 malam (14 Jun), menyebabkan siren serangan udara berbunyi di Jerusalem dan Haifa, memaksa kira-kira sejuta orang berlindung dalam tempat perlindungan bawah tanah.

Sekitar jam 2.30 pagi, tentera Israel mengeluarkan amaran serangan peluru berpandu kedua dan menggesa rakyat segera mencari perlindungan.

Bunyi letupan bergema di Tel Aviv dan Jerusalem, dengan peluru berpandu pemintas Israel kelihatan meledak di langit malam. Tentera mengangkat arahan ‘berlindung di tempat’ sejam kemudian.

Menjelang jam 3.30 pagi, sekurang-kurangnya empat orang disahkan maut dan 36 lagi cedera, dan jumlah korban kemudiannya meningkat kepada tujuh, termasuk seorang budak lelaki 10 tahun dan seorang wanita berusia 20-an. Lebih 140 orang dilaporkan cedera dalam serangan berterusan itu.

Artikel Berkaitan:

Media Israel turut menyiarkan gambar sebuah bangunan 10 tingkat musnah teruk dipercayai akibat serangan peluru berpandu di Israel tengah.

Pasukan penyelamat menyatakan seramai 35 orang dilaporkan hilang di bandar Bat Yam, selatan Tel Aviv. Sebuah bangunan lapan tingkat di bandar itu terkena serangan, menyebabkan kematian, walaupun ramai berjaya diselamatkan.

Pengawal Revolusi Iran mengesahkan peluru berpandu dan dron mereka menyasarkan infrastruktur tenaga dan kemudahan pengeluaran bahan api jet Israel, sambil memberi amaran bahawa serangan balas akan menjadi “lebih berat dan meluas” jika Israel terus melancarkan serangan.

Sementara itu, rundingan nuklear Iran-AS yang dijadualkan di Oman pada 15 Jun telah dibatalkan, apabila Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi berkata, rundingan tidak boleh diteruskan ketika Iran diserang 'secara kejam' oleh Israel.

Israel dilaporkan telah menyasarkan kilang gas terbesar dunia di South Pars, Bushehr, menyebabkan kebakaran dan penggantungan sebahagian operasi. South Pars menyumbang sebahagian besar pengeluaran gas Iran.

Harga minyak dunia meningkat 9 peratus pada 13 Jun susulan kebimbangan gangguan eksport minyak serantau, walaupun Israel tidak menyasarkan kemudahan minyak dan gas Iran pada hari pertama.

Seorang jeneral kanan Iran, Esmail Kosari berkata, Teheran sedang menilai sama ada akan menutup Selat Hormuz, laluan penting bagi kapal tangki minyak global.

Setakat 15 Jun, sekurang-kurangnya 9 orang terbunuh dan lebih 300 cedera di Israel sejak Iran melancarkan serangan balas pada 13 Jun. – Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!