Generasi kedua Felda usahakan tanaman peria katak, petola

JERANTUT – Bermula dengan melihat kebun milik rakan, bekas mandur ladang di Felda Sungai Retang di sini memberanikan diri mengusahakan tanaman peria katak dan petola timun sepenuh masa sejak 2015.
Mohd Razali Borahannudin, 36, yang juga generasi kedua Felda itu mengusahakan tanaman tersebut di kebun seluas 0.2 hektar selepas menyertai kursus pertanian.
Menurutnya, walaupun menghadapi pelbagai dugaan, ia tidak pernah melemahkan semangatnya untuk berbudi dan memanfaatkan tanah yang ada.
"Saya berhenti kerja sebagai mandur Felda lima tahun lalu selepas bekerja selama 12 tahun kerana memilih untuk sepenuh masa dengan tanaman ini.
"Saya ambil masa hingga lapan bulan untuk memastikan tanaman peria katak dan petola timun yang ditanam secara bergilir-gilir berjaya diusahakan," kata bapa kepada seorang anak itu lagi.
Ujar anak sulung daripada empat beradik itu, setakat ini hasil pengeluaran maksimum peria katak boleh mencecah hingga tujuh tan metrik dan 10 tan metrik semusim untuk peria timun bergantung kepada keadaan cuaca.
"Setakat ini, hasil tanaman saya mendapat tempat di pasar borong Selayang dan pasar raya sekitar Jerantut dan Jengka.
"Buat masa ini, ia menjadi pendapatan sampingan buat keluarga saya selepas kembali memulakan tugas sebagai penyelia di tempat lain," katanya lagi.
Beliau ditemui ketika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan Pahang, Haris Salleh Hamzah melawat kebun tersebut baru-baru ini.
Jelasnya, selepas ini kebunnya itu akan dikendalikan pekerja-pekerjanya yang terdiri daripada remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ujarnya, petola memerlukan lebih banyak kerja dan sedikit cerewet berbanding peria.
"Buah petola kena bawa turun ke bawah jika tidak akan sangkut di atas dan menjadi bengkok," tambahnya.
Dalam pada itu, beliau juga berharap generasi kedua Felda memanfaatkan peluang sedia ada dalam meningkatkan taraf hidup masing-masing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!