Lelaki ditemui maut di ladang disahkan alami serangan jantung

KULAI – Mayat seorang lelaki yang ditemui meninggal dunia di kawasan ladang kelapa sawit, di sini pada Sabtu disahkan akibat serangan jantung.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut.
“Polis menerima maklumat berhubung penemuan mayat lelaki itu di Field 2010 A-1, Ladang Kulai, Kelapa Sawit sekitar jam 11 pagi, 14 Jun.
"Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini tular di media sosial mengenai satu hantaran memaparkan dua keping gambar dan kapsyen yang menyatakan ada mayat ditemui dalam ladang kelapa sawit, tetapi tiada maklumat lanjut disertakan.
Dalam pada itu, Seng Lee berkata, mangsa tinggal bersendirian di sebuah rumah ladang yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi mayat ditemui.
“Mayat ditemui oleh seorang rakan yang tinggal di ladang berhampiran. Difahamkan, si mati menjaga ladang milik bapanya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

