Nahas Gerik: Terengganu bantu semua mangsa terlibat

Maliaman (tengah) bersama Balachandran (kiri) menziarahi mangsa nahas terselamat dalam kunjungan pada Jumaat. FOTO: Facebook Ustaz Maliaman Kassim
Maliaman (tengah) bersama Balachandran (kiri) menziarahi mangsa nahas terselamat dalam kunjungan pada Jumaat. FOTO: Facebook Ustaz Maliaman Kassim
A
A
A
KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu akan memastikan semua mangsa yang terlibat dalam tragedi kemalangan bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), termasuk pemandu bas dan mangsa yang menaiki Perodua Alza, menerima bantuan sewajarnya.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, pemandu bas dan keluarga empat beranak yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) itu akan menerima sumbangan sebanyak RM1,000 setiap seorang.

“Kerajaan negeri akan menyerahkan sumbangan sebanyak RM4,000 kepada empat mangsa menaiki Perodua Alza yang tinggal di Kedah, iaitu RM1,000 untuk setiap ahli keluarga.

“Sumbangan itu akan disampaikan oleh Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Datuk Hanafiah Mat yang akan menziarahi keluarga berkenaan di Baling, Kedah selepas ini,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Maliaman (kanan) menyerahkan sumbangan kepada mangsa terselamat nahas. FOTO: Facebook Ustaz Maliaman Kassim
Maliaman (kanan) menyerahkan sumbangan kepada mangsa terselamat nahas. FOTO: Facebook Ustaz Maliaman Kassim

Maliaman berkata, selain itu, beliau bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dijadualkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dan Hospital Taiping pada Ahad bagi menziarahi mangsa yang masih menerima rawatan.

“Sehingga kini, kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan tunai RM1,000 kepada setiap mangsa yang terselamat dan RM3,000 kepada waris pelajar yang terkorban.

“Menteri Besar Terengganu juga akan meneruskan ziarah ke rumah 15 pelajar yang meninggal dunia bagi menyerahkan sendiri sumbangan kepada waris mangsa.

“Terdapat juga mangsa terselamat yang belum sempat kita ziarahi kerana masih dalam rawatan atau menjalani pemulihan. Jadual baharu lawatan akan dikemas kini kemudian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, tiga pelajar yang masih dirawat di Hospital Ipoh (dua orang) dan Taiping (seorang) dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Artikel Berkaitan:

“Daripada keseluruhan 42 penumpang pelajar, seramai 12 orang yang dibawa pulang ke Terengganu telah sempat kita ziarahi setakat ini, termasuk mereka yang dirawat di Hospital Gerik sebelum pulang ke kampung masing-masing,” katanya.

Mengulas lanjut, Maliaman berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyediakan bantuan awal termasuk lawatan ke rumah mangsa bersama kaunselor serta sumbangan tunai RM200 kepada setiap pelajar yang memerlukan sokongan emosi.

“JKM telah menziarahi lima rumah pelajar di kawasan Besut dan Setiu. Ramai antara mereka masih trauma dan sukar melupakan kejadian tersebut kerana ia berlaku di depan mata mereka sendiri,” katanya.

Terdahulu, beliau turut meluangkan masa menziarahi dan menyantuni mangsa nahas yang terselamat di DUN Jabi, Hulu Besut, Jerteh, Kuala Besut dan Kota Putera.

Turut serta dalam lawatan itu ialah ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin; ADUN Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor; dan Pegawai Khas Menteri Besar (Hal Ehwal Bukan Islam), Dr Balachandran Gopal Krishnan.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi Isnin lalu, bas yang membawa 42 penumpang dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar sebuah MPV di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, berhampiran Tasik Banding.

Kejadian berlaku ketika bas persiaran yang disewa khas itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke kampus UPSI di Tanjung Malim, Perak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!