Nahas pelajar UPSI: Tiada bukti kegagalan sistem brek, tayar

Anthony Loke
Anthony Loke
A
A
A

SHAH ALAM [DIKEMAS KINI] Laporan awal kemalangan bas di Gerik, Perak yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada awal pagi Isnin lalu mendapati tiada bukti kegagalan sistem mekanikal seperti brek dan tayar yang menyebabkan kemalangan berkenaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kemungkinan besar kemalangan berlaku berpunca daripada faktor-faktor lain seperti manusia, keadaan jalan dan sebagainya.

Menurutnya, dapatan itu diperoleh melalui laporan awal teknikal yang disediakan oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

“Berdasarkan laporan awal teknikal yang disediakan oleh Puspakom, keadaan fizikal bagi brek bas, kesemua brek lining dan brek dram bagi semua gandar masih berada dalam keadaan yang memuaskan.

“Tiada sebarang ketidakseragaman pada brek dram mahupun kenipisan pada brek lining. Tiada petunjuk kegagalan mekanikal pada aspek-aspek ini yang boleh dikaitkan secara langsung sebagai punca kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Isnin lalu, bas membawa 42 pelajar UPSI yang dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu, dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar Perodua Alza dan terbalik di KM53 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik-Jeli, sehingga meragut 15 nyawa penuntut UPSI.

Kemalangan itu juga menyebabkan 33 lagi cedera dan dirawat di beberapa hospital sekitar Perak dan Kedah.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, pemeriksaan fizikal tayar juga mendapati ketebalan bunganya dalam keadaan yang memuaskan dan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Komponen bahagian stereng dan suspensi secara menyeluruh adalah dalam keadaan memuaskan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, langkah penambahbaikan yang bersesuaian akan dipertimbangkan dan dilaksanakan berdasarkan penemuan akhir nanti, bagi memastikan keselamatan jalan raya terus dipertingkatkan.

Tegasnya, Kementerian Pengangkutan (MoT) sentiasa meletakkan keselamatan pengguna jalan raya sebagai keutamaan.

“Penguatkuasaan terhadap pematuhan piawaian keselamatan, kelayakan pemandu, dan pemantauan operasi syarikat pengangkutan akan terus diperketat secara berterusan.

“Kepada semua keluarga mangsa, MoT merakamkan ucapan takziah dan komited untuk memastikan keadilan ditegakkan serta tragedi sebegini tidak berulang,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!