Wisma Putra pantau ketegangan Iran-Israel, rakyat Malaysia di Asia Barat diingatkan waspada

Wisma Putra menasihatkan warganegara Malaysia di Iran, khususnya mereka yang berada berhampiran kawasan terjejas supaya sentiasa berwaspada. Foto hiasan
Wisma Putra menasihatkan warganegara Malaysia di Iran, khususnya mereka yang berada berhampiran kawasan terjejas supaya sentiasa berwaspada. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, Baghdad dan Amman sedang memantau rapat perkembangan di Asia Barat susulan ketegangan terkini yang berlaku antara Iran dan Israel.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa, ekoran peningkatan ketegangan tersebut, Iran serta beberapa negara di rantau berkenaan iaitu Iraq dan Jordan telah menutup ruang udara mereka.

“Warganegara Malaysia yang berada di rantau tersebut dinasihatkan agar bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan gangguan kepada jadual penerbangan dan membuat penyesuaian sewajarnya terhadap rancangan perjalanan masing-masing.

“Mereka juga dinasihatkan untuk menangguhkan sebarang perjalanan yang tidak penting ke kawasan terjejas memandangkan situasi konflik yang tidak menentu,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.

Wisma Putra turut menasihatkan warganegara Malaysia di Iran, khususnya mereka yang berada berhampiran kawasan terjejas supaya sentiasa berwaspada, mengikuti perkembangan terkini dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Jelas kenyataan itu, semua warganegara Malaysia yang menetap atau sedang berada di Iran digesa untuk mengemas kini maklumat peribadi mereka dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tehran.

“Kementerian ini kekal komited dalam memastikan kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia di luar negara melalui pejabat-pejabat Perwakilan Diplomatiknya.

“Sekiranya berlaku kecemasan atau terdapat rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular, sila hubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, Iran di talian +98 21 8807 2444, +98 21 8807 8606 dan +98 933 535 2602 atau e-mel mwtehran@kln.gov.my / mwconsular.teh@gmail.com,” jelas kenyataan itu.

Bagi urusan di Iraq, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Baghdad di talian +964 787 859 8775 dan +964 786 497 0087 atau e-mel mwbaghdad@kln.gov.my.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, rakyat Malaysia di Jordan boleh berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Amman melalui talian +962 6590 2400 dan +962 78590 2400 atau e-mel mwamman@kln.gov.my.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!