Kes saman fitnah Rita Rudaini: Saksi akui 22 kenyataan merujuk plaintif

KUALA LUMPUR – Saksi ketiga pihak defendan dalam kes saman fitnah yang difailkan Yang Dipertua MUAFAKAT MRSM Sungai Besar, Prof. Dr. Mohd Roslan Mohd Nor dan timbalannya, Dr. Saidah Harith terhadap pelakon Rita Rudaini, bersetuju bahawa 22 kenyataan yang diterbitkan defendan di media sosial merujuk kepada kedua-dua plaintif.
Guru, Shah Nooramie Shaffiee, ketika disoal balas peguam plaintif pada prosiding di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Nixon Kennedy Kumbong, pada Rabu, turut bersetuju bahawa pihak yang membuat sesuatu kenyataan tanpa bukti perlu mengemukakan bukti bagi menyokong kenyataan berkenaan.
Bagaimanapun, persoalan sama ada kenyataan-kenyataan terbabit memenuhi unsur fitnah dari sudut undang-undang masih belum diputuskan mahkamah.
Prosiding pada Rabu turut menyaksikan saksi kedua defendan, Roshda Alias, yang bertugas sebagai Pegawai Teknologi Maklumat di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), memberikan keterangan pada sesi pagi.
Ketika disoal mengenai dakwaan berkaitan pemberian hadiah umrah kepada bekas Pengetua MRSM Sungai Besar, Roshda bersetuju bahawa tiada bukti dalam ikatan dokumen mahkamah menunjukkan perkara itu pernah dibangkitkan kepada plaintif atau dalam kumpulan WhatsApp yang turut disertai mereka.
Beliau turut menjelaskan bahawa secara peribadi tidak mempunyai masalah dengan MUAFAKAT MRSM Sungai Besar, sebaliknya hanya mahukan penjelasan berhubung beberapa persoalan yang pernah dibangkitkan.
Roshda juga memaklumkan pernah aktif membantu program MUAFAKAT termasuk sambutan Hari Raya, manakala anaknya aktif dalam bidang sukan dan pernah mewakili sekolah dalam pasukan bola sepak.
Ketika ditanya sama ada mengetahui defendan pernah menghubungi plaintif untuk mendapatkan penjelasan sebelum sesuatu kenyataan diterbitkan di media sosial, beliau menjawab tidak pasti.
Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan cadangan peguam plaintif bahawa dirinya sebenarnya tidak mengetahui perkara tersebut.
Berhubung sidang media pula, Roshda berkata tidak pasti sama ada pernah dimaklumkan bahawa writ saman telah dimeterai, namun bersetuju bahawa maklumat yang disampaikan ketika sidang media itu adalah writ saman telah difailkan.
Dokumen dan memorandum turut dipersoalkan
Pada sesi petang, Shah Nooramie turut disoal mengenai beberapa dokumen yang dikemukakan dalam prosiding, termasuk isu berkaitan MSSD, PSG dan keharmonian.
Ketika diminta menunjukkan bukti dalam ikatan dokumen bahawa isu PSG pernah dibangkitkan dalam kumpulan WhatsApp ibu bapa, beliau bersetuju bahawa dokumen berkenaan tidak dapat dikenal pasti pada bahagian yang dirujuk kepadanya.
Soal balas turut menyentuh tangkap layar WhatsApp pada halaman 164 hingga 173 serta jawapan kepada soalan nombor 16 dalam pernyataan saksinya.
Peguam plaintif mencadangkan bahawa beberapa isu yang dinyatakan saksi tidak terdapat dalam tangkap layar berkenaan dan tiada bukti yang menyokong isu-isu tersebut, namun Shah Nooramie tidak bersetuju dengan cadangan itu.
Beliau turut disoal mengenai memorandum yang dikatakan dikemukakan kepada MUAFAKAT Kebangsaan.
Ketika ditanya sama ada memorandum itu mempunyai lampiran dan ditandatangani, beliau menjawab tidak pasti.
Bagaimanapun, apabila diminta menunjukkan nama serta tandatangan ibu bapa pada dokumen berkenaan, beliau berkata tiada nama atau tandatangan yang dapat ditunjukkan.
Saksi turut bersetuju bahawa memorandum itu tidak menyatakan jumlah ibu bapa yang menyokongnya.
Ketika pemeriksaan semula oleh peguam defendan, Shah Nooramie menjelaskan terdapat banyak isu yang dikemukakan dalam memorandum berkenaan, meskipun hanya beberapa perkara tertentu dirujuk secara khusus ketika sesi soal balas.
Akui terdapat program MUAFAKAT
Dalam keterangannya, Shah Nooramie turut disoal mengenai satu hantaran media sosial yang antara lain mengandungi ungkapan ‘satu apa pun tak buat’.
Beliau bersetuju ungkapan itu membawa maksud plaintif didakwa tidak melakukan apa-apa untuk MUAFAKAT MRSM Sungai Besar.
Bagaimanapun, ketika pemeriksaan semula, beliau mengakui terdapat pelaksanaan program yang dibuktikan menerusi poster-poster dalam ikatan dokumen mahkamah.
Beliau juga mengakui tidak mengetahui sama ada defendan pernah merujuk atau mendapatkan penjelasan daripada plaintif sebelum kenyataan-kenyataan berkenaan diterbitkan.
Mengenai tuntutan balas defendan, Shah Nooramie bersetuju bahawa tindakan saman yang dimaklumkan dalam sidang media ketika itu ialah tindakan plaintif pertama dan kedua terhadap Rita Rudaini.
Beliau turut bersetuju bahawa tindakan berkenaan tidak seharusnya difahami sebagai tindakan undang-undang oleh MUAFAKAT MRSM Sungai Besar sebagai sebuah entiti.
Prosiding turut menyentuh proses pemilihan jawatan dalam MUAFAKAT apabila saksi bersetuju bahawa defendan pernah bertanding dalam pemilihan kepimpinan tetapi tidak memenanginya.
Beliau juga bersetuju bahawa berlaku pertukaran kata-kata dalam kumpulan WhatsApp selepas pemilihan berkenaan.
Ketika pemeriksaan semula oleh peguam defendan, Shah Nooramie berkata meskipun tidak pernah membuat aduan rasmi, beliau tetap berpandangan terdapat beberapa kepincangan dalam pengurusan MUAFAKAT MRSM Sungai Besar.
Beliau turut tidak bersetuju bahawa respons Rita Rudaini terhadap satu notis keharmonian yang dirujuk sebagai ‘surat tatatertib’ merupakan tindakan memperlekehkan notis atau MUAFAKAT.
Sementara itu, perbicaraan yang bersambung pada Rabu turut melibatkan keterangan dua saksi pihak defendan.
Defendan dijangka memberikan keterangan pada Rabu minggu hadapan.
Peguam plaintif, Haris Md Nor daripada Tetuan Adnan Sherida & Associates, hadir bersama Datuk Haji Adnan Seman, manakala Rita diwakili peguam Mohd Syakirin Syazwan Mohd Nayan.
Mahkamah belum membuat sebarang keputusan berhubung kes berkenaan dan akan menilai keseluruhan keterangan saksi, dokumen serta hujahan kedua-dua pihak sebelum memutuskan perkara itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
