Akhirnya kritikan, desakan dapat perhatian

Nahas bas yang meragut 15 nyawa pelajar UPSI Isnin lalu.
Nahas bas yang meragut 15 nyawa pelajar UPSI Isnin lalu.
A
A
A

SELEPAS beberapa artikel yang mengkritik dengan keras dan mendesak supaya tindakan segera diambil terhadap kemalangan melibatkan kenderaan berat, akhirnya ia telah mendapat perhatian kerajaan.

Jadi, kita hendak mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang telah mengumumkan penguatkuasaan penggunaan peranti pengehad kelajuan pada kenderaan perdagangan bermula Oktober ini.

Ia akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tiga fasa, dengan fasa pertama dimulakan dengan proses pengesahan dan pengaktifan peranti pengehad kelajuan, sebelum pelaksanaan sepenuhnya pada Julai 2026.

Walaupun ironinya kerajaan sudah memperkenalkan penggunaan pengehad kelajuan sejak 2015 lagi, namun keputusan terbaharu itu membuktikan komitmen kerajaan untuk mengatasi masalah tersebut.

Yang paling penting pada masa ini ialah kerajaan juga diingatkan supaya tidak tunduk kepada tekanan mana-mana pihak yang akan menolak penggunaan alat tersebut dengan alasan kos terlalu tinggi, ini kerana nyawa tidak boleh ditukar ganti dengan wang ringgit.

Namun, bagi 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam nahas bas di Gerik, Perak pada awal pagi 9 Jun lalu, pemergian mereka tidak sia-sia, malah telah memberikan satu sinar baharu kepada rakyat di negara ini.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang disiarkan akhbar ini, terdapat sebanyak 17,905 kenderaan berat yang terlibat dalam kemalangan maut dari Januari hingga Oktober 2024.

Daripada angka itu sahaja, terdapat sebanyak 825 buah lori didapati terlibat dalam kemalangan maut dalam tempoh 10 bulan pertama pada tahun tersebut.

Artikel Berkaitan:

Secara purata, tiga buah lori terlibat nahas dalam sehari, yang turut menyumbang kepada 5,364 kematian pada 2024 berbanding 6,024 kes yang berlaku sepanjang 2023.

Sebanyak 38,367 saman trafik turut dikeluarkan terhadap kenderaan perdagangan atas pelbagai kesalahan sejak Januari hingga September 2024 menerusi 4,822 operasi di seluruh negara.

Jadi, berbalik kepada usaha untuk menguatkuasakan peraturan kenderaan berat menggunakan pengehad kelajuan, ia adalah satu usaha yang baik tetapi ia juga bukan jaminan dapat menghapuskan secara total kematian berpunca daripada kemalangan tersebut.

Antara masalah yang bakal berlaku ialah tindakan pihak syarikat atau pemandu kenderaan berat yang mungkin bertindak menutup atau membuka alat tersebut dan akan memasang kembali apabila buat pemeriksaan di Puspakom.

Jadi sehebat atau secanggih mana pun sesuatu alat yang digunakan tetapi disebabkan tindakan pihak tidak bertanggungjawab inilah yang akan kembali meningkatkan data kemalangan maut atas jalan raya.

Jadi ini berbalik kepada aspek penguatkuasaan. Adalah lebih baik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melupakan operasi cermin gelap atau plat kenderaan jenis ‘fancy’, sebaliknya berikanlah sepenuh tumpuan kepada perkara lebih penting.

Selain itu, ada beberapa perkara perlu dilakukan termasuklah mengkaji semula penggunaan pengadang jalan yang digunakan sekarang yang berbahaya kepada pengguna jalan raya.

Keadaan jalan raya kita juga perlu diberikan perhatian setiap masa.

Daripada jalan raya yang tiada cat garisan pemutus sehinggalah lubang yang tidak diturap adalah perkara perlu jadi keutamaan.

Kegagalan pihak berkuasa untuk memastikan keadaan jalan dengan baik adalah satu dosa besar yang tidak boleh diampunkan.

Sehubungan itu, kita amat berharap jumlah statistik kemalangan maut akibat kemalangan melibatkan kenderaan berat dapat dikurangkan.

Sebarang usaha kerajaan untuk memastikan keselamatan rakyat akan terus mendapat sokongan penuh akhbar ini.

* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!